Mendapat sokongan parti-parti dalam kerajaan Madani, sejumlah 10 NGO bergabung di bawah Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia (GKUM) dalam usaha menolak ‘payung besar’ pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi GKUM Amidi Abdul Manan berkata mereka menolak gerakan yang dinamakan sebagai Sekretariat Orang Melayu itu kerana ia bertitik tolak daripada politik kebangsaan yang sempit.
Atas kesedaran itu, katanya, perpaduan rakyat adalah teras yang tidak boleh diketepikan, dirosakkan mahupun dipermainkan.
Amidi juga merupakan pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.
“Kami dengan ini menggerakkan hasrat kesejahteraan yang dinamakan GKUM dan menyeru sama ada pemimpin atau masyarakat agar berikhtiar mewujudkan keperibadian, politik, ekonomi, sosial, teknologi dan tadbir urus yang sejahtera,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 4 Jun lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’.
Bekas perdana menteri dua kali itu berkata, jawatankuasa itu antara lain akan menjadi platform bagi penyelesaian masalah orang Melayu yang gagal ditangani oleh kerajaan.
Dia juga berkata ia bagi membolehkan orang Melayu kembali menguasai kerajaan.
Sementara itu, antara NGO yang bergabung di bawah GKUM adalah Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Haluan Malaysia (Haluan), Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) dan Pertubuhan Kumpulan Profesor G70 (G70).
Amidi berkata penubuhan gerakan itu turut diaspirasikan oleh PKR, Majlis Hal Ehwal Agama Umno dan Amanah.
“Kami mewakili NGO ingin menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadap agama, bangsa dan negara kami.
“Kami sedar Malaysia sebagai sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian latar samada agama, bangsa dan budaya,” katanya.
