Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: Pendakwaan ke atas Adun tak jejas k'jaan negeri - Hajiji
Diterbitkan:  Jun 18, 2025 9:12 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Langkah SPRM yang dilaporkan akan mendakwa dua Adun Sabah berkaitan skandal rasuah lesen penerokaan mineral tidak akan menjejaskan pentadbiran negeri, kata Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Menurut Berita Harian, Hajiji berkata kerajaan negeri maklum dengan pengesahan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa dua Adun dan seorang orang awam sedang disiasat dalam siasatan yang dijalankan di bawah Ops Adun.

“Kita mesti menghormati proses undang-undang dan kita biarkan jabatan yang berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Kerajaan negeri komited memastikan kita menghormati bukan sahaja undang-undang, tetapi mewujudkan integriti dalam kalangan anggota kerajaan dan juga penjawat awam," katanya seperti dipetik.

ditanya jika kes berkenaan akan memberi kesan kepada kepimpinan negeri, Hajiji menolak kemungkinan itu.

"Saya ingat tidak memberi kesan. Saya dapat makluman mereka (SPRM) akan membuat pendakwaan kepada dua orang (Adun)...saya tidak tahu siapa. 

“Jadi apa pun, kita menegakkan proses undang-undang itu mesti berjalan sebaik mungkin.

"Biar mahkamah memutuskan sama ada mereka bersalah atau tidak. Ada ruang untuk mereka membersihkan nama mereka,” katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Azam dilaporkan mengesahkan yang pertuduhan akan difailkan dalam bulan ini, namun tidak mendedahkan tariknya sehingga semua prosedur selesai. 

Dia turut memaklumkan bahawa individu-individu terbabit sedang menjalani proses rakaman percakapan.

Sementara itu akhbar New Straits Times melaporkan Adun Sindumin Yusof Yacob dilihat di ibu pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Walaupun Yusof dikatakan salah seorang daripada dua Adun yang dipanggil SPRM hari ini, suruhanjaya itu tidak mendedahkan nama mereka.

Selain dua Adun tersebut, peguam kepada pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah berkenaan memaklumkan bahawa anak guamnya – seorang ahli perniagaan berusia 36 tahun dikenali sebagai Albert – dijangka akan didakwa pada 30 Jun ini.

Sebelum ini dia telah menyerahkan pelbagai bukti kepada SPRM, termasuk rakaman video, dokumen dan tangkap layar mesej WhatsApp yang didakwa mengaitkan beberapa Adun dalam skandal tersebut.

Ahli perniagaan berkenaan mendakwa dia telah memberi suapan kepada para Adun terbabit terbabit sebagai balasan untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS