KOLUM | Ada seorang gadis warga Israel diwawancara oleh wartawan di Tel Aviv berkata: “Mengapa sentiasa kami? Mengapa orang lain sentiasa hendak menyerang kami? Kami tidak berbuat apa-apa? Kami mahukan perdamaian.”
Dia berkata demiikian sebagai respons kepada serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel.
“Tetapi Israel yang memulakan serangan ke atas Iran. Mereka hanya menyerang balas,” kata wartawan yang mewakili sebuah rangkaian televisyen AS terkenal. Wawancara ini ditularkan dalam Tik Tok.
“Israel melakukannya bagi pihak dunia untuk menghalang pembangunan senjata nuklear Iran. Satu dunia tidak mahu Iran memiliki senjata nuklear,” kata anak muda itu.
Mentaliti warga Israel ialah mereka sentiasa berasa menjadi mangsa permusuhan bangsa lain. Tetapi hakikatnya bahawa mereka menjadikan bangsa lain sebagai mangsa tidak pula ada dalam mentaliti mereka.
Hakikat bahawa mereka yang memulakan serangan ke atas Iran tidak diambil kira. Ditambah pula sudah beberapa kali Israel membunuh jeneral dan saintis Iran sebelum ini juga diketepikan saja.
Malah pembunuhan dan pemusnahan Gaza yang dilakukan oleh tentera Israel sejak tahun 2023 juga diberi pelbagai alasan bagi membolehkannya.
Senjata nuklear Israel
Israel sendiri membangun senjata nuklear tidak pernah diakui atau dinafikan oleh mereka. Sedangkan pengetahuan umum dunia ialah Israel memiliki senjata nuklear yang pusatnya terletak di Dimona.
Jika Israel benar-benar membina senjata nuklear, pastinya ia berpunca dari AS yang menyatakan bahawa Israel berhak mempertahankan diri. Seolah-olah Iran tidak mempunyai hak untuk mempertahankan diri. Ia menunjukkan hanya Israel mahu hidup sendiri sedangkan tiada bangsa lain patut dibiarkan hidup.
Adalah dilaporkan bahawa Israel bercadang mahukan senjata nuklear seawal tahun 1963 dari AS tetapi ditolak oleh Presiden John Kennedy. Maka ada teori yang menyatakan bahawa pihak yang berkaitan dengan Israel telah membunuh Kennedy.

Pada Januari lalu, Presiden Donald Trump berjanji akan membuka fail mengenai pembunuhan Kennedy pada umum. Tetapi sehingga ke hari ini ia masih tidak dibuka. Spekulasi menyatakan bahawa Trump hendak melindungi rahsia Israel.
Ketika tahun 1963, negara yang ada senjata nuklear ialah AS (1945), Soviet Union (1949), Britain (1952) dan Perancis (1960). AS, Britain dan Perancis adalah sekutu melawan Soviet Union dalam Perang Dingin.
Pada tahun 1952, Gamal Nasser menggulingkan Al-Malik Farouk, raja Mesir yang menjadi sekutu Britain selepas negara itu merdeka daripadanya. Britain memperoleh Mesir dari kejatuhan kerajaan Uthmaniah seperti mana ia turut diberi mandat oleh Liga Bangsa-bangsa ke atas Palestin. Anggota tetap Liga Bangsa-bangsa ketika itu ialah AS, Britain, Perancis dan Jepun.
Apabila Britain menyerahkan sebahagian besar Palestin ke Zionis untuk dijadikan Israel pada 1948, ia meletakkan Tebing Barat termasuk Baitulmakdis di bawah Jordan di bawah pemerintahan Al-Malik Hussein. Gaza pula diletakkan di bawah Mesir, yang ketika itu di bawah pentadbiran Al-Malik Farouk. Pada tahun 1949, Israel menakluk Baitulmakdis Barat dan memindahkan ibu kotanya dari Tel Aviv ke situ.
Gamal Nasser mempunyai ideologi nasionalisme Arab kiri. Ia merupakan fahaman sosialisme dan pan-Arab. Apa yang dimaksudkan dengan pan-Arabisme ialah penyatuan semua negara-negara Arab dalam sebuah Republik Bersatu Arab (UAR) beribukotakan Kaherah. Fahaman ini juga dipanggil Nasserisme. Kunci pada fahaman ini ialah pembebasan Palestin dan pemansuhan Israel.
Projek kolonial di bumi Arab
Pada tahun 1958, Mesir dan Syria bersatu menubuhkan UAR. Ia hanya dapat bertahan sampai tahun 1961. Namun, Mesir terus menggunakan nama UAR hingga tahun 1971 apabila ia bertukar kepada Republik Arab Mesir.
Dalam pandangan ini, Israel dilihat sebagai projek kolonialisme dan imperialisme Barat. Zionisme di Palestin adalah cabang daripada kolonialisme dan imperialisme Barat. Kolonialisme dan imperialisme ini pula berasaskan pada rasisme dan kapitalisme. Perlu diingat bahawa selepas Perang Dunia Kedua, Barat merujuk pada bangsa kulit putih yang diketuai oleh penutur bahasa Inggeris. Ia diketuai oleh AS, Britain, Kanada, Australia dan New Zealand. Barat juga meliputi Eropah Barat iaitu Perancis, Jerman Barat, Sepanyol, Itali, Portugis dan lain-lain negara yang tidak berada di bawah pengaruh Soviet.
Blok Timur pula merujuk pula negara-negara komunis yang diketuai oleh Soviet Union diikuti dengan China dan Eropah Timur. Pada tahun 1963, kerusi China di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) masih diduduki oleh Republik China (ROC) iaitu kerajaan yang hanya menguasai pulau Taiwan sementara Republik Rakyat China (PRC) berada di luar.

Dalam keadaan ini, Israel dianggap sebagai sebahagian daripada Barat. Penduduknya datang dari negara Barat iaitu Eropah. Lebih penting lagi mereka disokong dan dibantu tanpa syarat oleh Barat. Kehadiran Zionis di Palestin adalah projek kolonial di bumi Arab. Ia juga merupakan imperialisme iaitu kesinambungan penguasaan empayar Barat untuk bertapak di Timur Tengah.
Lebih penting lagi ialah ia berasaskan pada rasisme Yahudi dan kulit putih. Rasisme kulit putih ialah keagungan (supremacy) bangsa kulit putih ke atas bangsa lain. Ini kerana orang kulit putih dianggap bertamadun dan pandai serta berhak mendominasi dunia dan bukannya bangsa lain seperti kulit hitam, coklat dan kuning, iaitu bangsa kulit berwarna yang dianggap bertaraf rendah. Di tengah-tengah rasisme kulit putih pula ialah Yahudi sebagai “kaum terpilih” (chosen people) yang berhak ke atas Palestin.
Sedangkan orang Arab, Turki, Hindi dan Rusia adalah berkulit putih. Mereka dianggap “tidak cukup putih” dan tetap terkebelakang. Ditambah pula orang Yahudi Eropah dan Amerika muncul sebagai orang pandai dalam pelbagai bidang seperti sains dan akademik menjadikan mereka bertambah kuat berpegang pada sentimen ini. Banyak kali juga sentimen ini tidak diucapkan tetapi berada di bawah sedar dalam bentuk perasaan kolektif bangsa.
Namun begitu, tidaklah semua berpendapat demikian. Banyak juga orang Yahudi dan kulit putih menolak fahaman dan sentimen keagungan dan ketuanan ini. Keagungan bermaksud supremacy dan ketuanan ialah dominance.
Soviet Union mengiktiraf Israel semasa penubuhannya sama seperti AS pada tahun 1948. Tetapi apabila melihat Israel lebih cenderung pada Israel, maka Soviet Union merapatkan diri dengan Mesir. Pada detik ini, Israel bimbang Mesir akan membangunkan senjata nuklear dengan bantuan Soviet.
Tetapi Mesir bukan sebuah negara komunis. Soviet lebih bimbang China tumbang kerana Amerika terang-terang memusuhinya. Maka Soviet Union berikan senjata nuklear pada China pada tahun 1964.
Dua peristiwa bimbangkan Israel
Pada tahun 1967, Nasser bersama Jordan dan Syria berperang dengan Israel untuk membebaskan Palestin. Malangnya mereka kalah. Israel menakluk Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur dari Jordan. Ia juga menakluk Gaza dan Sinai dari Mesir. Israel juga menakluk Bukit Golan dari Syria. Pada tahun sama juga, dipercayai Israel sudah mula memiliki senjata nuklear.
Pada tahun 1973, di bawah Anwar Sadat, Mesir bersama Libya, Jordan, Iraq dan Syria berperang dengan Israel untuk mendapatkan balik Sinai, Gaza, Tebing Barat, Baitulmakdis dan Bukit Golan. Mesir berjaya menyeberang Terusan Suez dan mengambil semula Sinai tetapi gagal membebaskan Gaza. Begitu juga, Tebing Barat, Baitulmakdis dan Golan gagal dibebaskan.
Pada tahun 1979, berlaku dua peristiwa yang membimbangkan Israel. Saddam Hussein menjadi Presiden Iraq dan berlaku Revolusi Islam Iran. Iraq dan Iran terang-terang menyokong pembebasan Palestin dan pemansuhan Israel.
Perisik Israel menyusup masuk ke Iraq dan Iran. Israel menuduh Saddam Hussein membangun senjata nuklear. Pada tahun 1981, ia menyerang Osirak dan memusnahkan apa yang dikatakan sebagai fasiliti nuklear Iraq.

Pada tahun 1984 lagi Israel menuduh Iran sedang membangun senjata nuklear. Iran menafikan. Apa yang ada ialah usaha membangun tenaga nuklear. Iran menyertai perjanjian tidak menyemarakkan senjata nuklear (NPT). Malah Iran kemudian membenarkan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk datang melawat fasiliti nuklear mereka. Tetapi Israel tidak menyertai NPT jauh sekali membenarkan IAEA melawat fasilitinya.
AS kemudian diyakinkan oleh Israel bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnahan besar-besaran (WMD) iaitu senjata yang boleh melakukan pemusnahan secara besar-besaran, tetapi tidak semestinya senjata nuklear.
Pada tahun 1990, AS bersama 42 negara sekutu menyerang, menakluk, menjatuhkan kerajaan Saddam, membunuh Saddam, membunuh orang awam, menghancurkan infrastruktur dan mencuri artifak warisan.
Selepas Iraq hancur, AS mengisytiharkan bahawa WMD itu tidak wujud. Ekoran perang itu, Amerika bina pangkalan di situ dan Israel bebas keluar masuk.
Kali ini Israel mahu melakukan perkara yang sama. Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mahu membunuh Ayatullah Khamenei, menumbangkan Republik Islam Iran dan mentabal Reza Pahlavi, putera Shah sebagai raja Iran.
Lepas itu, katanya giliran Pakistan pula akan dimusnahkan kerana membantu Iran dan mempunyai senjata nuklear. Maka siapa sebenarnya musuh kemanusiaan?
ZIN MAHMUD wartawan veteran.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
