Parti India Rakyat Malaysia (MIPP) berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri perlu mengetuai Jawatankuasa Tindakan Masyarakat India, bukan melantik naib presiden PKR R Ramanan.
Timbalan presiden MIPP S Subramaniam berpendapat bahawa sebarang jawatankuasa diketuai oleh pemimpin India atas alasan untuk memperkasakan masyarakat India hanya membawa semula sistem “mandur”.
"Walaupun, belum ada pengumuman rasmi, MIPP meminta perdana menteri untuk mengetuai jawatankuasa itu.
"Sebarang, lantikan dari kalangan pemimpin India sebagai ketua, tidak akan membawa sebarang hasil kerana, mereka tidak ada kuasa pelaksanaan.
"Apa gunanya, sekiranya mencadangkan polisi atau dasar baru tetapi tidak dapat dilaksanakan. Hanya kuasa perdana menteri boleh membantu pembangunan masyarakat India di negara ini," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, sumber dalaman kepimpinan PKR memberitahu Malaysiakini, Ramanan bakal dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Tindakan Hal Ehwal India dalam masa terdekat.
Katanya, minggu depan, Anwar akan berjumpa semua pemimpin India PKR untuk membincangkan hala tuju parti dan kerajaan untuk masyarakat itu.
Sementara itu, Subramaniam turut memberi contoh isu kelewatan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Katanya, Pengerusi Mitra P Prabakaran sendiri mengakui sebanyak 45 cadangan program yang diperaku dalam siri pertama dan telah dibawa kepada Pejabat Perdana Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.
"Ini yang, saya tekankan, PM perlu mengetuai jawatankuasa tindakan ini. Kalau lantik orang ketiga, untuk mendapatkan peruntukan perlu melalui banyak peringkat,” katanya.
Subramaniam berkata pendekatan seperti di era Najib Razak perlu dikembalikan.
"Dulu, masa Najib, dia sendiri mempengerusi Jawatankuasa Kabinet Hal Ehwal India (CCIA).
“Masa itu, KSN (ketua setiausaha negara) sendiri menghadiri ke mesyuarat jawatankuasa memudahkan segala urusan. Ini yang masyarakat India nak dari kerajaan. Bukan sistem mandur," katanya.
Ramanan merupakan bekas bendahari agung MIC dan menyertai PKR pada 2020. Pada PRU lalu dia bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh dan mengalahkan Khairy Jamaluddin.
Di sebalik statusnya yang dianggap baru, Ramanan berjaya mendapatkan kepercayaan majoriti ahli PKR sehingga memenangi jawatan naib presiden untuk sesi 2025 hingga 2028.
Dia kini berkhidmat sebagai timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi.
