Polis tidak mempunyai halangan bagi penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang akan berlangsung Sabtu ini di Kota Kinabalu.
Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 dalam satu kenyataan berkata, ia adalah sesuatu yang mengejutkan dan menganggap keputusan pihak polis sebagai sesuatu yang "luar biasa".
"Merujuk kepada surat daripada Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, kami ingin memaklumkan bahawa notis pemberitahuan telah diterima dan PDRM mengakui tiada halangan untuk mengadakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0.
"Kami menyifatkan kenyataan ini cukup luar biasa dan selayaknya perlu dibudayakan pihak berkuasa negara ini dalam menghormati hak kebebasan berhimpun dan bersuara selaras Perlembagaan Negara, tidak seperti perhimpunan pertama pada Disember lepas yang polis ‘menolak’ perhimpunan tersebut.
"Kami menyeru Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk turut serta mengeluarkan kenyataan sama bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan mahasiswa, golongan intelektual dan rakyat dalam pergerakan perhimpunan melawan rasuah di tanah air ini," kata sekretariat itu dalam kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, tuntutan dalam perhimpunan kali ini adalah kekal, iaitu menggesa tindakan perundangan terhadap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta autonomi penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka juga menggesa tindakan tegas diambik ke atas perasuah selain menggantung tugas individu yang yang didakwa terlibat.
Tidak ketinggalan, membantah perlantikan Musa Aman selaku Yang di-Pertua Negeri Sabah dan menggesa pertuduhan terhadapnya dibuka semula.
Sementara itu, koordinator bersama Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 2.0, Hamdin Nordin berkata pihaknya menyerahkan notis permakluman bagi mengadakan demo antirasuah di ibu negara pada 28 Jun ini.
Notis berkenaan katanya dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini selaras dengan Akta Perhimpunan Aman.
"Pihak IPD Dang Wangi juga telah memberikan cop terima kepada salinan notis yang kami hantar tadi.
"Kami tidak memohon kebenaran, kami hanya memberikan notis makluman kepada pihak polis selaras dengan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman," katanya kepada Malaysiakini.
