Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan akan pastikan kewibawaan fatwa tak terjejas - Na’im
Diterbitkan:  Jun 19, 2025 2:36 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Kerajaan akan meneliti keputusan mahkamah yang memihak kepada Sisters In Islam (SIS) bagi memastikan kewibawaan fatwa tidak akan terjejas dalam jangka panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata dia menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

"Keputusan ini akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang. 

"Saya ingin menegaskan bahawa fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan SIS untuk membatalkan fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.

Dalam keputusan majoriti, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada pihak berkuasa agama ke atas "orang yang menganut agama Islam" dan bukan “orang-orang buatan/tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat”.

Pada masa sama, Tengku Maimun berkata mahkamah mengakui pihak berkuasa Islam Selangor mempunyai kuasa mengisytiharkan mana-mana individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.

SIS dalam kenyataannya menerima baik keputusan tersebut, menyifatkannya bukan sahaja sebagai kemenangan untuk pihaknya, tetapi juga buat rakyat Malaysia yang percaya kepada proses undang-undang yang wajar, pengawasan demokrasi dan semangat Islam yang inklusif.

“Kami ulangi yang perjuangan kami tidak pernah bertujuan menyerang Islam atau pihak berkuasa yang berkaitan. Sebaliknya, ia merupakan cabaran kepada proses yang tidak mempunyai ketelusan, keadilan semula jadi dan kesaksamaan,” kata SIS.

‘Pastikan pentadbiran agama adil’

Pada Julai 2014, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan SIS telah menyimpang daripada ajaran Islam, atas alasan menganut fahaman “liberalisme” dan “pluralisme agama”.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonan SIS untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman atas alasan mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa berkaitan hukum syarak. Namun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada Mac 2017 dan membenarkan prosiding kes tersebut diteruskan.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im menekankan kepentingan kerjasama erat antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa untuk memastikan fungsi dan kewibawaan institusi fatwa kekal dihormati .

"Kerajaan akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara," katanya.

Dia juga berkata kerajaan akan terus mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS