Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan SIS: Tak ada pihak menang atau kalah, kata PGSM
Diterbitkan:  Jun 19, 2025 4:10 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menegaskan individu beragama Islam tetap terikat dengan fatwa pihak berkuasa agama Selangor di sebalik keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan Sisters In Islam (SIS) pagi tadi.

Presiden PGSM, Musa Awang, berkata keputusan berkenaan hanya melibatkan had pemakaian fatwa Selangor yang terpakai pada seseorang individu dan bukan entiti lain seperti syarikat, pertubuhan atau institusi.

Kata Musa seseorang Muslim tetap bertanggungjawab atas tindakan badan, syarikat atau pertubuhan yang melanggar fatwa berkenaan.

Hal itu kerana, katanya, sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tidak beroperasi secara sendiri, sebaliknya ia mesti digerakkan oleh individu tertentu.

“Penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut tidak membatalkan atau menafikan keabsahan pemakaian fatwa ke atas individu-individu dan larangan terhadap mana-mana individu Islam menganut fahaman pluralisme dan liberal, atau apa-apa fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu panel lima hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan hari ini menerima rayuan SIS yang memohon agar ketetapan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang menganggap pertubuhan berkenaan sebagai sesat dan menyeleweng.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang membacakan ringkasan penghakiman berkata fatwa pihak berkuasa agama hanya terpakai kepada individu dan bukannya badan atau “orang buatan” atau “tiruan”.

Menegaskan keputusan tersebut dibuat berdasarkan ketetapan dalam perlembagaan, Tengku Maimun menjelaskan hakim membuat ketetapan itu tanpa memberikan sebarang komen atau pendapat terhadap kandungan fatwa Selangor, khususnya frasa: “[...] fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyelewemg daripada ajaran Islam”.

Mereka juga tidak menyentuh mengenai ketetapan fatwa yang menggariskan “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam” kerana ia adalah perkara dalam bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Rayuan di hadapan kami hanya berkenaan had-had kuasa responden-responden untuk menggubal fatwa tersebut dari segi pemakaiannya dalam lingkungan had yang ditetapkan oleh Butiran 1 (Perlembagaan Persekutuan),” katanya.

Menurut Musa tiada pihak yang kalah atau menang dalam keputusan Mahkamah Persekutuan pagi tadi.

“Mahkamah Persekutuan menjalankan tugas mentafsir peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkataan perkataan-perkataan persons professing the religion of Islam atau dalam bahasa Melayu: ‘Orang-orang yang menganut agama Islam’ dalam Butiran 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Musa juga berkata PGSM menggesa usaha penyemakan dan penambahbaikan semua peruntukan undang-undang khususnya yang melibatkan undang-undang berkaitan Islam dan umatnua dilakukan dari semasa ke semasa.

Katanya ia boleh dilaksanakan melalui sesi libat urus dengan pelbagai pihak.

“Ia perlu supaya peruntukan yang ada bukan sahaja memenuhi keperluan hukum syarak, malah selari dengan undang-undang lain yang terpakai di negara ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS