Pemuda Umno menyarankan kerajaan agar menghidupkan semula rang undang-undang Generational End Game (GEG) atau 'Generasi Penamat' yang pernah dibawa Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengekang penularan ketagihan vape dan dadah dalam kalangan generasi muda, khususnya anak Melayu.
Dalam kenyataan di Facebook hari ini, ketuanya, Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa penarikan vape daripada Akta Racun serta kegagalan kerajaan membentang dan meluluskan GEG di Dewan Rakyat menjadi punca utama penjualan vape kini semakin berleluasa.

“GEG ini sepatutnya menjadi benteng untuk memastikan generasi mendatang dapat dikawal daripada ketagihan dadah dan vape. Tetpi sayangnya, ia tidak dibawa dan diluluskan di Dewan Rakyat.
“Malah, kerajaan melalui KKM mengeluarkan vape daripada Akta Racun. Akibatnya, penjualan vape kini tidak terkawal kerana tiada akta yang boleh mengawalnya,” katanya.
Akmal turut merayu campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar menyemak semula cadangan GEG dan membawa semula usul tersebut ke Parlimen demi masa depan anak-anak muda.
Gesaan itu hadir selepas Anwar sendiri dalam satu seminar kerajaan semalam mengakui isu dadah dan vape dalam kalangan generasi muda – terutamanya anak Melayu – semakin membimbangkan dan masih belum dapat diselesaikan meskipun telah dibincangkan “berpuluh tahun”.
Menurut Anwar, masalah ini “membunuh jiwa mereka sejak kecil” dan menuntut tindakan segera.
Kenyataan Anwar itu hadir sehari selepas jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil memaklumkan tindakan tegas akan diambil terhadap platform dalam talian yang menjual produk terlarang termasuk vape yang dicampur dengan dadah.

Isu kawalan vape terus mendapat perhatian selepas Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr M Murallitharan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk penggantungan lesen dan pendakwaan terhadap penjual yang melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Sebelum ini, Akmal menjadi antara pemimpin paling vokal menyokong pelaksanaan GEG, termasuk ketika diperkenalkan oleh bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin. Namun rang undang-undang itu terbantut selepas pertukaran kerajaan dan dikritik oleh segelintir ahli Parlimen kerana dianggap keterlaluan dan sukar dikuatkuasa.
Kini, dengan lonjakan penggunaan vape dalam kalangan remaja serta produk tidak terkawal di pasaran, gesaan untuk menghidupkan semula GEG kembali bergema – termasuk dari dalam kerajaan sendiri.
