Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: 'Lindungi pemberi rasuah salah dari segi undang-undang'
Diterbitkan:  Jun 19, 2025 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Ketika pelbagai pihak menggesa pihak berkuasa melindungi pemberi maklumat dalam skandal rasuah di Sabah, seorang bekas Exco Selangor daripada DAP berpandangan sebaliknya.

Teng Chang Khim menyifatkan langkah itu salah dari segi undang-undang dan moral, serta menyamakan ia dengan memberi perlindungan kepada rakan jenayah yang bersubahat dalam perbuatan rasuah.

“Ia akan memberi gambaran yang menggalakkan lebih ramai orang memberi suap, di mana seseorang itu boleh memperoleh apa saja yang diingini dengan pemberian suap dan jika dia gagal mendapati apa yang diingini, dia boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap penerima rasuah sementara dia dibebaskan dengan perlindungan sebagai pemberi maklumat.

"Ini bersamaan dengan memberi kekebalan undang-undang kepada seorang rakan jenayah dari hari pertama dia menawarkan suap," katanya menerusi Facebook hari ini.

Peguam: Mengejutkan dan mengecewakan

Semalam, peguam kepada pemberi maklumat berkenaan, Mahajoth Singh, menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa anak guamnya pada 30 Jun ini sebagai sesuatu yang “mengejutkan dan mengecewakan.”

Kenyataan itu susulan pengumuman Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, bahawa dua Adun Sabah dan seorang orang awam akan didakwa tidak lama lagi berhubung kes berkenaan.

Mahajoth menegaskan bahawa tanpa pendedahan anak guamnya, skandal rasuah Sabah itu tidak akan disiasat langsung oleh SPRM.

“Pendedahan anak guam saya, yang dibuat dengan risiko peribadi yang besar, telah memberikan manfaat besar kepada kepentingan awam.

“Maka amat mengejutkan dan mengecewakan apabila dia kini 'dihadiahi' dengan pendakwaan jenayah,” katanya.

Difahamkan bahawa pemberi maklumat yang hanya dikenali sebagai Albert, meyerahkan kepada SPRM rakaman video lengkap dan tidak disunting, disertai dengan lebih 300 muka surat bukti sokongan, rekod panggilan, mesej WhatsApp, dan dokumen digital lain bagi menyokong dakwaannya.

Dia juga pernah memohon perlindungan selepas mengaitkan ramai Adun Sabah dalam skandal tersebut, namun permohonannya ditolak.

Azam menjelaskan bahawa di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, seseorang yang terlibat dalam kesalahan yang didedahkan tidak layak menerima perlindungan sebagai pemberi maklumat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS