Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saluran Telegram Edisi Siasat disekat
Diterbitkan:  Jun 19, 2025 7:54 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

Saluran Telegram Edisi Siasat telah disekat dan tidak lagi boleh diakses.

Semakan oleh Malaysiakini mendapati saluran yang mempunyai hampir 1.18 juta ahli itu tidak lagi dapat dilihat.

Mesej yang tertera pada saluran itu menyatakan: “Saluran ini tidak dapat dipaparkan kerana telah melanggar undang-undang tempatan (Malaysia)”.

Terdahuu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memaklumkan bahawa agensi itu telah memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran Telegram, iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.

MCMC juga telah memohon dan berjaya mendapatkan perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi bagi menghalang penyebaran kandungan yang dimuat naik oleh kedua-dua saluran tersebut.

Menurut MCMC, saluran berkenaan dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suruhanjaya itu berkata, kandungan sedemikian berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam dan menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Tambah MCMC lagi, tindakan undang-undang ini merupakan yang pertama seumpamanya terhadap Telegram, yang merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)] , selepas platform itu gagal menangani kandungan yang telah berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata langkah melesenkan platform media sosial adalah perlu bagi membanteras jenayah dalam talian, termasuk penipuan, perjudian haram, dan pornografi kanak-kanak.

Pada 2015, MCMC pernah menyekat akses kepada laman blog berita Sarawak Report selepas ia didakwa menerbitkan kandungan yang mengancam keselamatan negara.

Laman web yang berpangkalan di United Kingdom itu sebelum itu menerbitkan laporan berkaitan skandal kewangan global melibatkan 1MDB.

Sekatan itu dilaksanakan semasa pentadbiran bekas perdana menteri, Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan berkaitan 1MDB. Sekatan tersebut kemudiannya ditarik balik pada tahun 2018, beberapa hari selepas PH mengambil alih kerajaan buat pertama kali.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS