Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib dapat DNAA kes kedua SRC
Diterbitkan:  Jun 20, 2025 9:46 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

Najib Razak hari ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K Muniandy membenarkan permohonan yang dikemukakan bekas perdana menteri atas alasan kes berkenaan berlanjutan begitu lama, manakala pihak pendakwaan dianggap tidak bersedia memulakannya dalam masa terdekat.

Untuk rekod, kes yang dibicarakan ini berbeza daripada satu lagi kes melibatkan Najib dan SRC.

Najib yang juga bekas Presiden Umno mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram - berjumlah RM27 juta - pada 3 Feb 2019.

Dia didakwa menggunakan wang tersebut untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang.

Najib dituduh melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Bhd, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Ahli politik berusia 71 tahun itu berdepan dengan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihhi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Muhammad Shafee Abdullah

Minggu lalu peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, berkata tidak adil untuk membiarkan anak guamnya terumbang-ambing tanpa tarikh perbicaraan yang jelas apabila pihak pendakwaan tidak dapat menentukan bila mereka akan dapat menyusun eksibit daripada perbicaraan SRC sebelum ini.

Najib – kini ditahan di Penjara Kajang – sudah disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram pada Julai 2020.

 Pertuduhan itu melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Najib berpuas hati

Sementara itu Bernama melaporkan bahawa Muniandy berpendapat pihak pendakwaan belum bersedia mendakwa kes itu kerana belum memperoleh dan mengumpulkan dokumen-dokumen penting yang diperlukan sebagai bukti terhadap tertuduh.

“Penantian terlalu lama untuk perbicaraan ini menjadi suatu beban berpanjangan bagi tertuduh dan menafikan haknya untuk mendapat penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya,” katanya.

Hakim itu menjelaskan kes terhadap Najib tergantung selama enam tahun iaitu sejak 2019 tanpa sebarang keterangan saksi dikemukakan.

Kata Muniandy mahkamah mengambil maklum akan fakta semasa bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib berkaitan kesalahan yang didakwa berlaku sejak 2014, namun pada 2025 kes itu masih belum dimulakan untuk perbicaraan.

“Berdasarkan faktor ini, perintah paling wajar adalah untuk mahkamah ini melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya, agar beliau tidak terus dibebani dengan pertuduhan yang masih belum dapat diteruskan.

“Malah, tiada sebarang prejudis terhadap pihak pendakwaan dengan perintah pelepasan ini yang dalam istilah umum dikenali sebagai DNAA kerana pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini apabila mereka sudah bersedia,” katanya.

Minggu lalu timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata Jabatan Peguam Negara menolak representasi yang dikemukakan Najib.

Pada masa sama, pihak pendakwaan juga memohon tempoh lebih lama bagi mendapatkan dokumen berkaitan dan menyediakan penyataan saksi.

Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata Najib - yang hadir di mahkamah hari ini - berpuas hati dengan keputusan tersebut kerana jumlah pertuduhan dihadapinya telah berkurangan.

“Najib berkata beliau kini boleh memberi tumpuan kepada kes 1MDB,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS