Akta Pemberi Maklumat hanya layak dicampak ke bakul sampah sekiranya tafsiran SPRM terhadap undang-undang itu diterima pakai, kata seorang peguam yang mewakili pemberi maklumat dalam skandal rasuah Sabah.
Dalam satu kenyataan, Mahajoth Singh mengkritik keras Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan pengarah pendakwaan, Wan Shaharuddin Wan Ladin kerana menafikan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 terhadap anak guamnya.

Peguam itu menegaskan bahawa anak guamnya menepati definisi pemberi maklumat seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 2 akta berkenaan kerana dia telah membuat pendedahan mengenai salah laku kepada agensi penguatkuasaan.
“Tiada sebarang kekaburan. Anak guam saya jelas memenuhi keperluan undang-undang ini dan, mengikut definisi, adalah seorang pemberi maklumat di bawah akta tersebut.
“Dakwaan SPRM bahawa Seksyen 11(1) tidak memberi perlindungan adalah satu tafsiran undang-undang yang songsang. Seksyen 11 menyentuh tentang pembatalan perlindungan – bukan pemberian perlindungan.
“Sehingga hari ini, anak guam saya langsung tidak diberikan sebarang perlindungan di bawah akta tersebut, meskipun dia jelas layak dan telah diberi gambaran sebaliknya.
“Ini menimbulkan persoalan asas – bagaimana perlindungan boleh dibatalkan di bawah Seksyen 11 jika ia tidak pernah diberikan sejak awal?” soalnya.

Mahajoth berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan media Azam dan Wan Shaharuddin semalam.
Azam berkata pemberi maklumat yang hanya dikenali sebagai “Albert” akan didakwa selepas siasatan mendapati dia turut terlibat secara aktif dalam urusan rasuah, manakala timbalan pendakwa raya itu pula dilapor sebagai berkata laporan yang dibuat dengan niat jahat tidak menepati syarat perlindungan.
Mahajoth turut menambah bahawa Seksyen 11 akta tersebut bersifat budi bicara, dengan SPRM boleh membuat keputusan jika sama ada mahu membatalkan perlindungan pemberi maklumat atau tidak.
Katanya, tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang yang mewajibkan pendakwaan terhadap seorang pemberi maklumat.
Sebaliknya, akta itu digubal untuk mewujudkan suasana yang selamat bagi pemberi maklumat tampil dan mendedahkan salah laku kepada agensi penguatkuasaan undang-undang.

Menurut Mahajoth, keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa anak guamnya bukan sahaja menimbulkan persoalan dari segi undang-undang, malah memberi kesan buruk dari segi strategi kerana ia memberi mesej kepada orang awam bahawa mereka tetap boleh dikenakan tuduhan jenayah walaupun tampil dengan bukti rasuah.
“Tindakan SPRM dalam kes ini kini memberi gambaran bahawa Malaysia ialah negara yang menghalang pemberi maklumat dan melindungi salah laku yang berakar umbi.
“Jika tafsiran SPRM terhadap undang-undang ini diterima, maka keseluruhan tujuan akta ini telah dikhianati. Dalam keadaan itu, akta ini hanya layak ke satu tempat – bakul sampah,” katanya.
