Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelaksanaan Langkah Ekonomi "tiga serangkai" merangkumi perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta peningkatan tarif elektrik bermula 1 Julai. Selain itu, penyasaran subsidi RON95 dijangka akan turut berlaku pertengahan tahun ini.

Ketiga-tiga pelaksanaan langkah ekonomi secara serentak ini dikhuatiri akan terus menyumbang kepada kelembapan ekonomi negara yang lebih serius apabila dalam keadaan semasa hari ini pun situasi ekonomi negara berada dalam perkembangan yang tidak sihat.

Menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Marzunisham Omar, walaupun kadar inflasi keseluruhan menurun, paras harga barang masih kekal tinggi, sekali gus mengurangkan kuasa membeli isi rumah di tengah-tengah pertumbuhan gaji yang sederhana.

Dari suku pertama 2020 (S1 2020) hingga suku pertama 2025 (S1 2025), Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat secara kumulatif sebanyak 9.8 peratus, manakala harga makanan dan minuman meningkat lebih tinggi iaitu 17.5 peratus.

Sebaliknya, gaji nominal sektor swasta bagi setiap pekerja hanya meningkat sebanyak 7.9 peratus dalam tempoh yang sama. Kesimpulannya, gaji bagi setiap pekerja menurun sebanyak 1.9 peratus. Keadaan ini yang membuatkan kita merasai tekanan daripada kenaikan kos sara hidup, menyebabkan kita kurang berbelanja, dan seterusnya menyumbang kepada faktor penurunan kuasa membeli isi rumah.

Malah saya sendiri sebagai seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam bidang pengurusan acara, kami memiliki lebih 2,000 data peniaga kecil. Hasil dapatan analisis jualan daripada beberapa siri acara yang dijalankan, hasil jualan semakin merudum sejak awal tahun, lebih-lebih lagi selepas perayaan Aidilfitri.

Kami sebagai peniaga yang merasai sendiri bagaimana tren perbelanjaan rakyat semakin menurun, sekali gus membuktikan kebenaran dalam kenyataan timbalan gabenor Bank Negara tentang penurunan kuasa beli pengguna.

Memetik Ameer Ali Mydin, pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, sebuah rangkaian pemborong dan peruncit besar di Malaysia, dia menzahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan beberapa langkah ekonomi secara serentak.

Dia  mencadangkan kerajaan untuk mempertimbangkan semula cukai ke atas barangan tertentu, khususnya buah-buahan rakyat.

Dia menyatakan kebimbangan dengan mengatakan bahawa harga barang akan naik mendadak kesan daripada beberapa dasar ekonomi dan peraturan yang akan dijalankan serentak.

Pertama, cukai SST akan memberi kesan langsung kepada peningkatan harga barangan tersebut. Kedua, cukai SST yang dikenakan ke atas penyewaan bangunan akan dipindahkan pula kepada produk jualan. 

Sememangnya sebarang kos operasi yang meningkat akibat daripada peluasan dan peningkatan cukai SST ini akhirnya akan ditambah kepada harga jualan barangan dan dipindahkan bebannya kepada pembeli.

Menurut beliau lagi, caj kontena di Port Klang juga akan dinaikkan sekitar 30 ke 40 peratus.  Kos tersebut juga sudah pasti akan dikenakan ke atas barang jualan yang turut akan mengakibatkan peningkatan kepada harga jualan barangan. 

Selain itu, penyasaran subsidi petrol RON95 juga akan mempengaruhi peningkatan kos harga produk jualan.

Akhir sekali, segala peningkatan kos yang akan dilambakkan kepada harga barangan produk akhir akibat daripada pelaksanaan beberapa langkah ekonomi serentak ini akan ditanggung oleh pembeli. Mereka terpaksa membayar pada harga jualan yang lebih tinggi daripada sebelum ini.

Daripada analisis ini sahaja kita boleh menjangkakan yang pelaksanaan langkah ekonomi "tiga serangkai" ini sudah pasti akan memberi kesan berganda yang lebih buruk berbanding amalan percukaian sebelum ini kepada peningkatan kos dalam rantaian perniagaan.

Pelaksanaan langkah ekonomi serentak ini juga berpotensi untuk terus mengurangkan lagi kuasa membeli isi rumah di tengah-tengah pertumbuhan gaji yang sederhana dan pendapatan yang tidak meningkat seiring dengan peningkatan kos, seterusnya melembapkan lagi ekosistem ekonomi dalam negara seperti yang dinyatakan oleh timbalan gabenor Bank Negara.

Armada Bersatu mewakili para peniaga khususnya usahawan muda mendesak kerajaan untuk membatalkan perluasan skop cukai SST. 

Tangguh dahulu peningkatan tarif elektrik serta penyasaran subsidi petrol RON95 sehingga kerajaan berjaya melakukan pembaharuan struktur bagi menangani pertumbuhan gaji yang tidak berkembang dan memastikan pendapatan seiring dengan kenaikan harga barang.

Armada Bersatu menggesa supaya kerajaan lebih kritikal dan kreatif dalam meneroka sumber-sumber baharu supaya kek ekonomi negara dapat dibesarkan dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan negara. 

Bukan sekadar mencukai rakyat dan hapuskan subsidi untuk memperlihatkan peningkatan kepada pendapatan kerajaan.


MUHAMMAD KHAIRI ZAINOL ABIDIN exco armada Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS