Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, menggesa reformasi menyeluruh terhadap Pejabat Peguam Negara (AGC) susulan keputusan mahkamah yang memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes pengubahan wang haram SRC International.
Katanya, AGC sudah terlalu lama beroperasi tanpa sebarang akauntabiliti, dan rakyat sudah letih dengan "pendakwaan cacat" yang kini mencapai tahap kemuncak.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy memberikan DNAA, iaitu menggugurkan pertuduhan buat sementara waktu, yang tidak menjejaskan pendakwaan kerana mereka masih boleh memfailkan semula pertuduhan terhadap Najib apabila bersedia.
“Rakyat Malaysia sedang memerhati — dan mereka marah.
“Peguam Negara, yang juga pendakwa raya, tidak bertanggungjawab kepada sesiapa, tidak terikat dengan mana-mana kod etika berkanun, dilindungi daripada penelitian awam, dan kebal dengan undang-undang.
“Ini menjadikan hampir mustahil untuk keputusannya dicabar melainkan seseorang boleh membuktikan niat jahat — satu ambang yang sukar dicapai,” kata Zaid di platform X hari ini.
Zaid berkata AGC dibelenggu dengan pelbagai isu, termasuk ketiadaan badan awam yang menyemak keputusan pendakwaan, walaupun dalam kes berprofil tinggi atau berkepentingan politik. Keputusan DNAA dan NFA (tiada tindakan lanjut) juga menurutnya sering dibuat tanpa sebarang justifikasi.

Dia berkata, bahawa ketika ini, perdana menteri mempunyai kawalan penuh dalam pelantikan dan pemecatan peguam negara, manakala peguam pegara pula boleh memulakan atau menggugurkan pendakwaan tanpa perlu memberikan alasan. Katanya, ini mencipta satu "struktur insentif yang berbahaya."
“Tiada kewajipan untuk mendedahkan data pendakwaan. Parlimen tidak tahu-menahu bagaimana keadilan dilaksanakan atas nama rakyat.
“Pendakwa raya juga tidak diwajibkan untuk menyerahkan bukti yang boleh membebaskan tertuduh — satu pelanggaran besar terhadap prinsip perbicaraan adil,” katanya.
Zaid menjelaskan bahawa tidak seperti di UK, Kanada atau Australia, pendakwa raya di Malaysia tidak terikat dengan kod etika awam yang mengikat.
Dia turut mengkritik Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sedia ada sebagai “tumpul dan dibungkam oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA).”
Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, telah didakwa atas tiga pertuduhan menerima RM27 juta hasil aktiviti haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking di bawah namanya di AmIslamic Bank Berhad, bertempat di bangunan Ambank Group di Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun penjara, denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyalahgunakan RM42 juta dana milik SRC International.
Susulan keputusan DNAA pagi tadi, peguam Najib, Shafee Abdullah berkata anak guamnya sangat gembira — walaupun masih perlu kembali ke penjara — kerana kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada kes 1MDB.
Mengulas lanjut, Zaid menyeru agar diwujudkan sistem perundangan bebas di mana AGC berfungsi secara bebas untuk menegakkan keadilan.
Dia mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pemantauan Pendakwaan bagi menyemak keputusan untuk tidak mendakwa dalam kes berkepentingan awam serta menyiasat dakwaan salah laku, berat sebelah, atau penyalahgunaan kuasa.
Zaid turut mencadangkan tindakan tatatertib atau rujukan kepada semakan kehakiman, serta penggubalan kod etika wajib untuk pendakwaan dengan semua bukti yang boleh membebaskan tertuduh mesti didedahkan.

Katanya, alasan bertulis juga mesti disediakan bagi keputusan DNAA, NFA dan rundingan pengakuan bersalah (plea bargain).
“Seperti hakim, pendakwa kanan mesti mempunyai tempoh perkhidmatan tetap dan perlindungan daripada pemecatan sewenang-wenangnya,” katanya.
Zaid menekankan bahawa akauntabiliti Parlimen juga mesti diperkukuh, termasuk penyediaan laporan tahunan mengenai hasil pendakwaan, kes yang digugurkan serta statistik berkaitan DNAA dan NFA.
“Tubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai keadilan dan hal ehwal perundangan untuk menyelia tingkah laku pendakwaan,” katanya.
Mengenai perlindungan pemberi maklumat, Zaid berkata undang-undang semasa perlu dipinda bagi membolehkan pendedahan dilakukan. Ini, termasuk yang melibatkan maklumat sulit, asalkan ia dibuat dengan niat baik dan demi kepentingan awam.
Katanya, kekebalan juga mesti dijamin bagi mereka yang mendedahkan salah laku pendakwaan.
“Rakyat sudah hilang keyakinan. Mereka tidak lagi percaya bahawa sistem keadilan berfungsi untuk mereka. Jika pembangkang di bawah Perikatan Nasional (PN) atau ‘gabungan besar’ mahu mengembalikan kepercayaan awam, inilah peluang mereka.

“Satu janji kukuh dan boleh dipercayai untuk membersihkan sistem pendakwaan — dengan pemantauan bebas, peraturan yang telus dan integriti profesional — akan menyentuh hati rakyat.
“Bukan lagi slogan ‘reformasi’. Bukan lagi umpan dan tipu daya Madani.
“Katakan dengan jelas. Kita akan nyah-politikkan pendakwaan. Kita akan tamatkan keadilan terpilih. Kita akan wujudkan perkhidmatan pendakwaan bebas yang bekerja untuk rakyat — bukan untuk yang berkuasa, bukan untuk yang ada kenalan, bukan untuk yang tak boleh disentuh,” kata Zaid lagi.
