Ratusan berarak ke kedutaan Amerika Syarikat (AS)di ibu negara selepas sembahyang Jumaat hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap serangan Israel ke atas Palestin dan Iran.
Perhimpunan aman tersebut digerakkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) susulan konflik terbaru yang tercetus selepas Israel menyerang Iran.
Himpunan hari ini juga bagi menyatakan sokongan kepada Iran dan Palestin yang menjadi mangsa rejim Zionis, selain mendesak Amerika Syarikat supaya tidak campur tangan serta menghentikan perperangan.
Sebaik selepas sembahyang Jumaat, para peserta berkumpul di bangunan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan beberapa pemimpin dan aktivis memberikan pidato, sebelum bergerak menuju ke kedutaan Amerika Syarikat yang terletak kira-kira satu kilometer bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Himpunan turut disertai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Mohmad dalam ucapannya berkata apa yang berlaku hari ini merentasi soal fahaman dan agama, dan merupakan soal kemanusiaan dan kekejaman Zionis.
Dia membangkitkan perang Iraq sebelum ini yang menurutnya perlu dijadikan iktibar kerana menunjukkan bagaimana Israel menghancurkan negara Islam melalui sekutunya, iaitu Amerika Syarikat.
"Iraq diserang, dijatuhkan hanya kerana memusuhi Israel. Peluru berpandu yang pertama tembak Israel adalah dari Baghdad (Iraq).
"Maka Saddam Hussein dan Iraq dihancurkan," katanya.
Turut serta dalam himpunan tersebut adalah beberapa pemimpin Amanah, termasuk Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan,Khalid Samad dan Pengarah Pilihan Raya Amanah Mohd Sany Hamzan.

Turut serta adalah Presiden Putra Ibrahim Ali dan aktivis, Tian Chua dan Hishamuddin Rais.
Memorandum bantahan diserahkan ke kedutaan Amerika Syarikat oleh Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid.
Seperti kelaziman sebelum ini, pihak kedutaan meminta supaya memorandum tersebut dimasukkan ke dalam peti surat kedutaan.
