Masalah kesihatan mental tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menilai atau menghukum seseorang kerana keupayaan setiap individu adalah berbeza.
Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, menjelaskan bahawa setiap individu, walaupun menghadapi masalah mental yang sama, berbeza dari segi fungsi keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan harian.
“Fungsi merujuk kepada keupayaan seseorang menjalani aktiviti harian, menjaga hubungan sosial, menyumbang kepada masyarakat, dan mengejar matlamat hidup yang bermakna.
“Tahap fungsi boleh berubah-ubah dan tidak semestinya mencerminkan keterukan penyakit,” katanya kepada Malaysiakini.
Anita turut menambah bahawa stigma dan diskriminasi sering kali memberi kesan lebih buruk berbanding penyakit itu sendiri.
Anita mengulas reaksi orang ramai terhadap seorang guru sekolah menengah di Ipoh yang memuat naik komen menghina kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah bas baru-baru ini.
Guru tersebut kemudian memohon maaf dan menyatakan dia menghidap skizofrenia, namun hal itu menimbulkan keraguan di kalangan orang ramai terhadap kelayakannya bertugas sebagai pendidik.

Menurut kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, dianggarkan satu juta rakyat Malaysia (4.6%) berumur lebih 15 tahun menghidap kemurungan, meningkat dua kali ganda berbanding 2019, dan separuh daripadanya pernah menyatakan kecenderungan membunuh diri.
Mengulas lanjut, Anita berkata MIASA menerima permohonan maaf guru berkenaan serta pengakuannya, namun tetap mengakui kesan emosi terhadap keluarga mangsa nahas.
“Kami terus memperjuangkan pendekatan yang berbelas ihsan dan holistik dalam isu kesihatan mental – yang mengutamakan sokongan dan pemulihan, bukannya menghakimi atau stigma.
“Dalam keadaan tertekan, individu tanpa diagnosis pun boleh bertindak melulu, tetapi masyarakat sering menyalahkan masalah kesihatan mental semata-mata,” katanya.
Susulan insiden itu, Exco Pendidikan Perak, Khairudin Abu Hanipah, dilapor meminta penjelasan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri.
Polis Perak turut merakam keterangan guru tersebut dan sedang menunggu laporan perubatan dari Hospital Seri Manjung sebelum melengkapkan kertas siasatan.
Anita menegaskan bahawa pendekatan pihak berkuasa terhadap individu dengan masalah kesihatan mental harus mengutamakan keselamatan, maruah dan akses kepada rawatan.
“Pasukan intervensi krisis sewajarnya melibatkan pakar kesihatan mental, NGO, sukarelawan dan petugas terlatih untuk menilai, menenangkan, dan merujuk individu ke perkhidmatan bersesuaian.
"Menjadikan masalah kesihatan mental sebagai jenayah ialah pendekatan ketinggalan zaman, tidak berkesan dan amat memudaratkan," katanya.
Turut berkongsi pengalaman, seorang suri rumah, Nashita Md Noor yang menceritakan cabaran dihadapi oleh anak perempuannya, Asiah Bad Latif, 24, yang disahkan menghidap masalah mental sejak 2021.

Ini termasuk ADHD, Kemurungan Major, Bipolar Jenis 2, Gangguan Skizoafektif dan yang terkini, Gangguan Personaliti Sempadan (BPD).
Aktivis era Reformasi itu berkata kesedaran dan sokongan berkaitan pekerjaan masih kurang, bukan sahaja untuk Asiah, tetapi juga individu lain yang didiagnosis dengan masalah kesihatan mental.
"Asiah kerja part time, biasanya di pusat beli belah sebagai sales girl. Kerja di kafe semuanya tak kekal sebab bila tak ok, ada isu relapsed, sakit, dia tak boleh kerja dan banyak kena ambil MC (cuti sakit),” kata Nashita.
Nashita menjelaskan bahawa ketika kesihatan Asiah merosot, dia mengalami simptom seperti kemurungan teruk, terfikir untuk bunuh diri sehingga mencederakan diri sendiri, dan juga halusinasi akibat skizofrenia.
“Yang terbaru dia bekerja di call center. Syarikat yang bagus dan terima Asiah bekerja walau Asiah beritahu dia ada sakit mental ada kad oku mental. Dia suka kerja tu.
“Dia kerja bagus dan gaji pun bagus. Supervisor pun happy dengan dia.
“Masalah dia ialah bila ada isu yang triggered dia. Dia akan relapsed, terganggu emosi, kena cuti, kena MC. Akhirnya diberhentikan kerja,” kata Nashita kepada Malaysiakini.
Anita menjelaskan bahawa Akta Kerja 1955 membenarkan majikan menamatkan pekerjaan jika seseorang pekerja tidak lagi mampu menjalankan tugas. Namun, tiada larangan untuk menggaji individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Dia turut menyatakan bahawa di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat — termasuk dari segi kesejahteraan mental, mengikut tafsiran yang semakin meluas hari ini.
Mengulas lanjut, Nashita mengakui bahawa Asiah kadangkala tidak mengambil ubat mengikut jadual. Malah, sesetengah ubat pula menyebabkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan sehingga mengganggu keupayaannya.
Anita berkata antara kesan sampingan fizikal yang biasa termasuk penambahan berat badan, rasa mengantuk, dan ketiadaan emosi, selain tekanan perasaan akibat stigma masyarakat terhadap individu yang mendapatkan rawatan kesihatan mental.
Namun begitu, Anita menegaskan bahawa walaupun ubat memainkan peranan penting dalam rawatan, ia bukan satu-satunya jalan penyelesaian.
“Proses pemulihan lebih berkesan apabila digabungkan dengan intervensi psikososial, sokongan rakan sebaya, dan penjagaan berasaskan komuniti,” katanya.
Tambahnya lagi, MIASA mengiktiraf kepentingan ubat, tetapi rawatan harus berada dalam kerangka pemulihan yang lebih menyeluruh – yang menghormati hak, pilihan dan maruah individu.
Anita berkata MIASA percaya pemulihan boleh dicapai — bukan bermaksud bebas sepenuhnya daripada gejala, tetapi mampu menjalani kehidupan dengan bermakna walaupun menghadapi cabaran.