Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jika sebelum ini Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpalit dengan sindiket 'counter settings', 'fly' dan penyeludupan hidupan liar, kini satu lagi sindiket didakwa berlaku di lapangan terbang itu.

Sindiket itu didakwa melibatkan kakitangan kerajaan yang terbang ke luar negara tanpa butiran perjalanan mereka ditunjukkan dalam rekod imigresen, atau istilahnya ‘phantom travels’.

Susulan tinjauan di KLIA sejak beberapa minggu lalu, Malaysiakini difahamkan beberapa pegawai yang berkhidmat di bawah Jabatan Imigresen Malaysia didakwa terlibat dalam sindiket ini.

"Sebenarnya, sindiket ini bukan perkara baru. Sudah lama dibuat oleh kakitangan kerajaan. Cuma baru-baru ini ia menjadi popular di kalangan kakitangan kerajaan khususnya yang mahu melancong ke luar negara tanpa dikesan pegawai atasan," kata sumber dari Jabatan Imigresen.

Menurut sumber itu, terdapat dua jenis kakitangan kerajaan yang mengambil khidmat sindiket ‘phantom travels’.

"Jenis yang pertama mempunyai jawatan yang tinggi dan senang ke luar negara atau ke mana-mana kerana tidak ada pegawai atasan untuk memantau.

“Jenis yang kedua, kakitangan berpangkat rendah yang dipantau oleh pegawai atasan.

"Ada di kalangan jenis kedua ini, terlibat 'projek' dan mempunyai banyak duit. Tapi, bukan senang mereka nak belanja duit kerana masih dipantau. Kalau mereka nak ke luar negara perlu memberitahu pegawai atasan dan mungkin disoal dari segi keberadaan wang dan sebagainya.

"Bagi mengelak, mereka menggunakan sindiket ini," katanya.

Elak 'autogate'

Malaysiakini juga difahamkan modus operandi mereka licik dan sukar dikesan jika tidak ada pengawasan rapi. Ini termasuklah berpakat dengan pegawai imigresen yang bertugas di kaunter.

Jika kebanyakan orang akan menggunakan 'autogate' (pagar automatik) bagi urusan imigresen, mereka sebaliknya akan sengaja melalui kaunter imigresen dengan bantuan pegawai yang bertugas.

Pasport mereka tidak diimbas, tidak dicop, atau direkodkan sebagai ke luar negara. Pegawai imigresen yang berada di kaunter pula didakwa membantu mengiringi mereka sampai ke terminal berlepas.

Selepas melancong ke negara yang diingini, mereka dikatakan pulang ke Malaysia dengan cara sama, tanpa sebarang cop masuk dicatat dalam pasport.

Maka, mengikut rekod imigresen, mereka tidak pernah keluar dari negara.

Menurut sumber dari KLIA Terminal 1, bayaran yang dikenakan bagi 'khidmat' untuk melepasi kaunter imigresen antara RM1,000 hingga RM1,500.

"Kalau dulu, pegawai Imigresen yang buat projek melawat ke luar negara tanpa pengetahuan ketua jabatan.

"Sekarang, saya nampak kakitangan dari jabatan-jabatan lain pun mula ke luar negara tanpa dijejak," katanya.

Menurut sumber itu, terdapat beberapa sebab pegawai seumpamanya terlibat dalam aktiviti ini, termasuklah bagi menyorok dari pengetahuan ketua jabatan.

"Mereka cuba mengelak melapor kepada pegawai atasan berhubung perjalanan mereka. Seperti kita tahu, pegawai kerajaan perlu memaklumkan perjalanan ke luar negara, terutamanya jika melibatkan negara yang memerlukan visa.

“Dengan cara ini, mereka boleh melancong tanpa pengetahuan ketua jabatan. Tanpa rekod perjalanan, tiada siapa yang tahu mereka ke luar negara, membolehkan mereka berbelanja besar tanpa disyaki.

“Mereka juga dapat mengelak soalan gaji yang akan dibandingkan dengan perbelanjaan (ke luar negara).

"Sebagai contoh, pegawai gred rendah yang bergaji RM3,000 tetapi tiba-tiba melancong ke Timur Tengah atau Asia Timur, boleh menimbulkan tanda tanya. Jika tiada cop pasport, tiada bukti mereka pernah ke sana," katanya.

Walaupun tidak semua pegawai imigresen terlibat, amalan ini boleh dikatakan sudah menjadi ‘budaya’ dalam kalangan segelintir kakitangan imigresen.

'Thanos' bermaharajalela di KLIA

Sementara itu, satu lagi sumber dari ibu pejabat imigresen di Putrajaya mengesahkan sindiket 'phantom travels' dan menyifatkan ia “menakutkan”.

"Adakah ini hanya tip of the iceberg (isu di permukaan)? Jika ada pegawai yang berani manipulasi sistem imigresen untuk kepentingan peribadi, persoalannya ialah berapa ramai lagi yang terlibat?

"Adakah ini turut digunakan untuk aktiviti haram lain seperti penyeludupan atau pemerdagangan manusia? Bagaimana sistem kawalan imigresen boleh diperketatkan?

"Pihak berwajib perlu menyiasat dengan segera sebelum skandal ini menjadi lebih besar dan menjejaskan integriti seluruh sistem imigresen di negara kita," katanya.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata gejala rasuah di kalangan kakitangan awam di KLIA 'beyond repair' (sudah tidak dapat ditangani).

Sumber itu juga mendakwa seorang pegawai imigresen yang dikenali sebagai ‘Thanos’ mempunyai kekayaan luar biasa meskipun berpangkat rendah.

"Rasuah dan KLIA memang tidak dapat dipisahkan. Kakitangan di sana 'beyond repair' boleh dikatakan 'toxic level'.

"Saya tak kata semua terlibat. Tapi, kebanyakan terlibat secara langsung atau tidak langsung. Dari imigresen kepada kastam, dari pekerja yang memeriksa daftar masuk bagasi kepada pengawal keselamatan, tukang cuci semuanya dijangkiti virus rasuah.

"Hampir tiap-tiap hari ada tangkapan, warga asing yang cuba masuk secara haram dihantar pulang. Tapi, masih berlaku. Sebagai contoh, Malaysiakini sebelum ini melaporkan seorang pegawai imigresen dilapor polis kerana memiliki pasport asing yang dipercayai berkaitan dengan sindiket "fly".

"Selepas laporan itu, dia telah hilang dan tak dapat dikesan. Tapi, rakannya dikenali sebagai 'Thanos' masih beroperasi," katanya.

Menurut sumber itu Thanos (nama panggilan pegawai itu di kalangan pegawai Imigresen) merupakan pegawai berpangkat rendah tetapi memiliki kekayaan yang luar biasa bagi seorang pegawai gred KP19.

"Ada banyak aduan terhadap dia. Tapi, tak ada tindakan kerana beberapa pegawai atasan 'melindungi' dia. Dia juga salah seorang yang sering ke luar negara tetapi tidak ada rekod dalam sistem imigresen.

"Dia juga melancong domestik. Tak pernah disoal siasat. Boleh kata dia ini bermaharajalela di KLIA,” katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan seorang pegawai imigresen telah dilaporkan kepada polis kerana memiliki 12 pasport asing yang dipercayai berkaitan dengan sindiket "fly".

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen mengatakan pegawai itu tidak dapat dikesan selepas menghilangkan diri.

Sindiket "fly" merujuk kepada dakwaan kegiatan yang memalsukan status imigresen, membersihkan rekod individu yang telah melebihi tempoh visa atau disenarai hitam dengan menggunakan cop keluar dan masuk dengan bayaran tertentu.

Sebelum ini, dilaporkan pegawai imigresen akan secara rahsia membawa cop keluar ke lokasi tertentu, kemudian mencap pasport yang disediakan oleh ejen sebelum mengutip bayaran. Namun, kini sindiket itu didakwa menggunakan kaedah yang lebih terancang dan sukar dikesan.

Menurut sumber, sindiket itu beroperasi dengan cara pegawai imigresen sendiri membawa pasport yang diberikan oleh ejen ke kaunter rasmi untuk dicop secara sah, sebelum mengembalikannya kepada ejen.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar sejak Khamis untuk mendapatkan komen. Namun, tidak berjaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS