Pengerusi Urimai, P Ramasamy, menggesa pembangkang bersatu dan menerajui langkah reformasi bagi membebaskan serta mendemokrasikan badan kehakiman negara.
Ramasamy turut menyokong saranan Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, supaya Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan dipinda — dengan tujuan mengembalikan pemisahan kuasa antara badan kehakiman, perundangan dan eksekutif.
“Reformasi institusi seperti memperkasa badan kehakiman melalui pindaan perlembagaan, menjadikan SPRM bertanggungjawab kepada Parlimen dan lain-lain tidak boleh lagi ditangguhkan.
“Selain itu, perubahan kecil atau rutin tidak sepatutnya dikelirukan dengan reformasi asas atau institusi,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, berikutan terdapat beberapa kes rasuah berprofil tinggi baru-baru ini yang diberikan status dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), maka terdapat keperluan mendesak untuk memastikan keputusan kehakiman bebas daripada campur tangan politik oleh pihak eksekutif.
Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan kerajaan pimpinannya tidak berminat untuk memulakan pindaan perlembagaan bagi mendemokrasikan institusi kehakiman.

“Anwar mungkin pernah mempertahankan reformasi institusi ketika berada dalam pembangkang, tetapi beliau kini berbeza. Menyedari bahawa kawalan ke atas badan kehakiman melalui pelantikan hakim adalah penting untuk beliau kekal berkuasa, maka persoalan tentang membebaskan badan kehakiman daripada belenggu politik menjadi sangat sukar dalam suasana politik sekarang.
“Dalam isu mengembalikan kebebasan badan kehakiman, Anwar — walaupun sebelum ini lantang berjanji akan melakukan reformasi menyeluruh demi demokrasi dan keadilan — akhirnya memberikan kekecewaan besar kepada rakyat Malaysia.
“Tanpa kewujudan badan kehakiman yang kuat, bebas dan berdaya tahan, maka kemajuan dan pencerahan tidak akan wujud,” tambahnya.
Jumaat lalu, Majlis Perundingan Malaysia bagi agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) turut menyokong gesaan Takiyuddin tersebut.
Majlis itu menggesa kerajaan melaksanakan reformasi yang telah dijanjikan sebelum pilihan raya umum akan datang, dengan menyatakan bahawa alasan sukar mendapatkan sokongan tidak lagi boleh diterima.
Selain menyeru agar Artikel 121 dipinda, Takiyuddin turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa pemilih Parlimen dwipartisan bagi memantau pelantikan hakim dan memastikan ketelusan serta akauntabiliti.

Sebelum 1988, Artikel 121 memperuntukkan kuasa kehakiman kepada Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah bawahan lain. Namun pindaan selepas itu telah menghapuskan peruntukan ini secara jelas, dan menggantikannya dengan pernyataan bahawa mahkamah “hendaklah mempunyai bidang kuasa dan kuasa seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan.”
Ini secara efektif bermaksud bahawa kuasa kehakiman tidak lagi bersifat hakiki (inherent) tetapi hanya diberikan melalui perundangan persekutuan.
Pada Januari lalu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan bahawa walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan dalam memulihkan integriti badan kehakiman, perdana menteri masih memiliki pengaruh yang terlalu besar dalam pelantikan hakim.
Dia turut mengimbau kritikan Anwar pada tahun 2009 terhadap campur tangan politik dalam pelantikan hakim kanan, walaupun ketika itu kerajaan telah melaksanakan reformasi penting termasuklah penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada tahun sama.
Perlu diingatkan bahawa walaupun JAC boleh mencalonkan nama untuk jawatan kehakiman, perdana menteri masih berkuasa untuk menolak senarai tersebut dan meminta nama lain.
