Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bakar karikatur PM: Pemimpin AMK tawar jadi jambatan dialog
Diterbitkan:  Jun 23, 2025 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Seorang pemimpin Pemuda PKR (AMK) hari ini menawarkan diri untuk bertindak sebagai "jambatan untuk dialog" antara pemimpin mahasiswa Sabah dan pihak berkuasa berkaitan, selepas perhimpunan antirasuah di Kota Kinabalu hujung minggu lalu berakhir dengan penunjuk perasaan membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketua Biro Pendidikan dan Mahasiswa AMK Fadzli Roslan menegaskan sayap itu menyokong usaha yang dipimpin mahasiswa untuk memerangi rasuah, namun mengecam bentuk protes yang "keterlaluan dan tidak bertamadun".

“Perubahan sebenar hanya akan lahir melalui keilmuan, kesatuan dan kebijaksanaan dalam tindakan.

"Mahasiswa adalah nadi perubahan tetapi perubahan yang berkekalan tidak akan lahir melalui kemarahan melulu sebaliknya melalui kekuatan prinsip, kesedaran dan iltizam kolektif," kata Fadzli dalam satu kenyataan.

Kumpulan aktivis mahasiswa Suara Mahasiswa UMS semalam membakar karikatur Anwar pada kain rentang yang disertakan ungkapan “Madani Pelindung Rasuah Sabah”, sebagai simbol kritikan terhadap dakwaan kegagalan untuk menegakkan janji reformasi institusi.

Kumpulan itu juga berkata tindakan mereka adalah reaksi kepada kenyataan Anwar baru-baru ini yang menggesa golongan muda untuk memerangi rasuah.

Fadzli bagaimanapun berkata: "Tindakan seperti ini tidak mencerminkan kematangan intelektual malah mengundang persepsi negatif terhadap perjuangan mahasiswa itu sendiri.

"Ekspresi kebebasan tidak wajar dijadikan alasan untuk mencetuskan provokasi atau menghina mana-mana individu," katanya sambil menambah walaupun kebebasan bersuara adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ia mesti dilaksanakan dalam batas etika dan undang-undang.

"Perjuangan mahasiswa hanya akan dihormati dan diambil serius jika disampaikan secara berwibawa dan berasaskan hujah yang kukuh," tambahnya.

Semalam, Ketua Pemuda PKR Kamil Munim, yang juga setiausaha politik Anwar di Kementerian Kewangan, berkata pembakaran karikatur itu bukan sahaja "berlebihan dan biadab", tetapi juga menunjukkan bahawa penunjuk perasaan tidak mempunyai hujah yang bernas.

Sebagai tindak balas, pengasas Borneo Komrad Mukmin Nantang mencabar Kamil untuk berdebat mengenai tuntutan mahasiswa - termasuk mengenai ketelusan dalam institusi awam, serta tindakan tegas terhadap rasuah, di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat terhadap pihak berkuasa untuk mendakwa wakil rakyat Sabah yang terlibat dalam skandal lesen cari gali mineral.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki membayangkan pertuduhan terhadap dua Adun Sabah dan seorang orang awam di mahkamah tidak lama lagi, dipercayai dikaitkan dengan skandal rasuah lesen perlombongan mineral yang menggegarkan negeri itu sejak tahun lepas.

Awal hari ini, pengurusan UMS berkata ia tidak mempunyai kaitan dengan perhimpunan itu dan akan membuat laporan polis berhubung aksi pembakaran karikatur itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS