Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan Anwar gagal sentuh akar masalah rakyat, kata Bersatu
Diterbitkan:  Jun 23, 2025 6:59 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mendakwa pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim semakin hilang kepercayaan rakyat apabila gagal menyelesaikan isu asas kehidupan, meskipun menerima sokongan 55 peratus seperti yang ditunjukkan dalam tinjauan pertengahan penggal oleh Merdeka Center.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, angka 50 peratus rakyat yang percaya negara sedang menuju ke arah yang salah merupakan isyarat jelas bahawa “rakyat semakin hilang keyakinan terhadap perdana menteri ke-10 dan pentadbiran kerajaan Madani yang diterajuinya.”

Menurutnya, selepas lebih 18 bulan memegang tampuk kuasa, kerajaan Anwar masih belum menunjukkan hasil yang nyata.

“Walaupun laungan ‘reformasi’ dan ‘Madani’ sering diulang, realitinya ialah kos sara hidup tidak terkawal, rakyat terus terbeban dengan harga barang asas yang naik mendadak, ketidaktentuan ekonomi, dan kebimbangan mengenai pemotongan subsidi.

“Bantuan kerajaan tidak mencukupi dan tidak sampai kepada golongan paling terjejas,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Merujuk tinjauan pendapat oleh Merdeka Center di Malaysiakini, hari ini, Tun Faisal menyifatkan kadar sokongan terhadap Anwar sebagai “sokongan bersyarat”.

Malah, katanya, kepercayaan itu boleh berubah bila-bila masa sekiranya kerajaan terus gagal menangani isu ekonomi rakyat secara konkrit.

Dia turut menyentuh soal kegagalan kerajaan dalam menangani jurang etnik dan kelas sosial yang semakin melebar, terutama dalam kalangan pengundi Melayu dan golongan B40.

“Sokongan bukan Melayu kekal tinggi terhadap kerajaan, tetapi ia tidak berkembang.

“Sokongan Melayu pula kekal terpecah dan terus menyokong pembangkang, khususnya Perikatan Nasional dan PAS,” katanya.

Menurut pemimpin Bersatu itu, generasi muda dan golongan berpendapatan rendah semakin kecewa apabila bantuan bersasar tidak mencukupi untuk menampung beban inflasi.

“Rakyat mula melihat kerajaan ini sebagai kerajaan kayangan, bukan kerajaan yang memahami kesusahan hidup rakyat,” katanya.

Dalam konteks Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, Tun Faisal berpandangan bahawa sokongan terhadap gabungan PH-BN berisiko terus merosot, khususnya di kawasan luar bandar dan Pantai Timur.

Dia juga mengkritik apa yang dilihatnya sebagai kelemahan naratif kepimpinan perdana menteri yang banyak menekankan nilai dan moral, namun gagal menawarkan pelan tindakan yang jelas.

“Anwar bercakap soal nilai, moral dan ‘Madani’, tetapi gagal membina satu naratif besar yang membangkitkan keyakinan rakyat dan pelabur.

“Rakyat mahu tahu: - Apa pelan ekonomi sebenar kerajaan?

“Bagaimana hutang dan beban kehidupan rakyat mahu diringankan?

“Apa solusi terhadap masalah pengangguran dan jurang bandar-luar bandar? Tanpa jawapan dan pelan tindakan kukuh, naratif reformasi hanyalah slogan kosong,” ujarnya.

Tun Faisal menegaskan bahawa kerajaan Madani kini semakin dilihat sebagai “kerajaan yang lemah di hati rakyat” dan hanya memperkenalkan dasar yang membebankan tanpa impak besar yang boleh dirasai secara langsung.

Sehubungan itu, dia menggesa Anwar untuk berundur segera.

“Anwar Ibrahim telah gagal sebagai perdana menteri. Demi masa depan negara, Anwar mesti berundur.

“Malaysia memerlukan pemimpin yang mempunyai lebih banyak idea, lebih prihatin rakyat, faham ekonomi, berani dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

“Cukuplah dengan retorik. Sudah tiba masa untuk rakyat bangkit menuntut perubahan yang sebenar. Turun Anwar!” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS