Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad membela Anwar Ibrahim, dengan mengecam penunjuk perasaan di Sabah yang membakar karikatur perdana menteri itu.
Dzulkifli berkata walaupun dia mengakui kekecewaan mahasiswa di sebalik aksi itu, dia tidak boleh menerimanya kerana ia melampau serta tidak mencerminkan budaya demokrasi yang matang.
Dia menegaskan bahawa dalam berjuang untuk sesuatu tujuan, matlamat tidak menghalalkan cara.
"Perjuangan melawan rasuah sepatutnya membina keinsafan dan kesedaran — bukan dicemari tindakan yang merosakkan maksud serta nilai perjuangan itu sendiri.
"Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan tadbir urus yang bersih, kita mesti tegas melawan kebatilan, tetapi dengan cara yang bermaruah dan beradab.
"Tindakan ekstrem hanya mencemarkan perjuangan dan memberi alasan kepada pihak berkuasa untuk menyekat suara yang sah dan benar.
"Kita menuntut perubahan sistemik – bukan sekadar sensasi jalanan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
"Bakar semangat rakyat untuk melawan rasuah – bukan bakar karikatur pemimpin," tambahnya.
Dzulkifli juga menyatakan bahawa, seperti kebanyakan rakyat Malaysia, dia juga merasakan “kekecewaan”, terutamanya dalam pengendalian kes rasuah yang melibatkan individu berprofil tinggi dan tokoh politik, termasuk dari Sabah.
"Kekecewaan rakyat, terutamanya anak muda, terhadap retorik anti-rasuah yang tidak disusuli dengan tindakan tegas dan telus oleh institusi yang berkaitan adalah sesuatu yang sah dan wajar difahami," katanya.
Semalam, Ketua Pemuda PKR Kamil Munim menyatakan sentimen yang sama, mendakwa aksi bakar karikatur itu bukan sahaja keterlaluan dan biadab, malah menunjukkan penunjuk perasaan tidak mempunyai hujah yang bernas.
Kamil, yang juga setiausaha politik Anwar di Kementerian Kewangan, menegaskan bahawa perbuatan itu telah membahayakan penunjuk perasaan dan orang ramai di samping gagal untuk menyampaikan mesej mereka.
Aksi itu berlangsung pada penghujung bantahan pelajar terhadap rasuah di Kota Kinabalu, yang berlangsung dari tengah hari pada 21 Jun hingga 11 pagi, 22 Jun.
Imej karikatur perdana menteri pada kain rentang yang dibakar turut mengandungi ungkapan “Madani Pelindung Rasuah Sabah”.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak itu berkata ia akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu, menegaskan bahawa pihak universiti tidak terlibat, sama ada secara langsung atau tidak, dalam perkara itu.