Seorang pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempertahankan aksi bakar karikatur Anwar Ibrahim semasa protes antirasuah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Jurucakap Suara Mahasiswa UMS Fadhil Kasim membandingkan aksi itu dengan zaman perdana menteri sebagai aktivis mahasiswa setengah abad lalu.
Dia berkata, perbuatan itu yang dilakukannya bersama seorang lagi penunjuk perasaan, kemungkinan membuat Anwar mengimbau demonstrasi yang pernah dipimpinnya pada 1970 ketika berada di Universiti Malaya (UM).
"Anwar ketika menjadi mahasiswa berdemonstrasi dan membakar buku Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia.
"Ketika menjadi YDP Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), Anwar bersama pimpinan mahasiswa berdemonstrasi membakar buku '13 Mei' tulisan Tunku Abdul Rahman.
"Bagi mereka buku itu 'sabversif'. Justeru jawatankuasa PBMUM dipimpin Anwar melakukan upacara mengebumikan buku karya Tunku dengan berdemonstrasi dan membakarnya di khalayak umum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Saya rasa Anwar selepas melihat video kami akan tersentuh mengimbau semula kenangannya di Universiti Malaya pada era 70an," tambahnya, yang turut berkongsi imej yang diambil dari majalah Persatuan Bahasa Melayu UM yang diterbitkan pada 1970.
Namun, cantas Fadhil, Anwar hakikatnya kini adalah perdana menteri dan bukannya aktivis mahasiswa.
Tunku Abdul Rahman, yang juga merupakan Bapa Kemerdekaan, memimpin negara dari 1955 hingga 1970, dengan tahun terakhirnya ditandai dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969, yang ditulisnya dalam buku “13 Mei: Sebelum dan Selepas”.
Mengulas lanjut, Fadhil mengecam pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) - organisasi yang pernah diterajui Anwar - dan AMK sebgai gagal menyoroti nuansa pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sendiri.
"Kerana bagi mereka yang paling penting sekarang adalah peluang mengipas untuk terus naik ke atas. (Ketua AMK) Kamil Munim adalah contoh yang terbaik, selain (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) Adam Adli.
"Ternyata, mereka telah gagal mendalami estetika mahasiswa yang berdemonstrasi mengenai isu rasuah di Sabah hari ini.
"Mereka lebih fikirkan potret figura mereka itu dijilat api kemarahan, berbanding harta rakyat yang pelan-pelan diselongkar sang koruptor, berbanding krisis air yang tidak selesai di UMS," kata Fadhil.
Fadhil adalah sebahagian daripada penganjur perhimpunan hujung minggu lalu di Lintasan Deasoka di Jalan Gaya, di Kota Kinabalu.
Selain Anwar, penunjuk perasaan juga menyasarkan Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman dan lain-lain dalam pentadbiran negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri dan presiden Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor.
Karikatur Anwar yang dibakar turut mengandungi ungkapan “Madani Pelindung Perasuah Sabah”.

Kamil sebelum ini mengutuk aksi itu sebagai sekadar mencari perhatian dan gagal menyampaikan mesej.
Ketua PKR Tuaran Razeef Rakimin menyifatkan aksi itu sebagai "tindakan terdesak" selepas perhimpunan itu dikatakan menyaksikan penyertaan hambar kurang daripada 100 penyokong.
Razeef seterusnya mendakwa Fadhil dan rakannya bukan sahaja membahayakan diri mereka, tetapi juga pengunjung ke tapak perhimpunan itu.
Sementara itu, Fadhil mengkritik pendirian perdana menteri terhadap Sabah, mendakwa retorik Anwar telah berubah sejak menyertai kerajaan.
"Ketika pembangkang dulu, Anwar akan ke Sabah membawa top-5 naratif popularnya. Musa Aman. Kayu balak. Jalan raya. Rasuah dan hak Sabah.
"Sekarang berbeza, Anwar mungkin lebih mengutamakan bagaimana untuk mengekalkan kekukuhan GRS dalam Madani, sementara GRS itu sedang bergelumang dengan skandal rasuah yang luar biasa," katanya, merujuk kepada skandal rasuah lesen cari gali mineral Sabah yang melibatkan beberapa wakil rakyat.
Kumpulan itu sebelum ini juga berkata tindakan mereka sebagai tindak balas terhadap kenyataan Anwar yang menggesa golongan muda untuk memerangi rasuah.
Awal hari ini, UMS mengecam kejadian itu dan membuat laporan polis. Universiti itu menegaskan bahawa ia tidak mempunyai penglibatan - secara langsung atau tidak langsung - dengan aksi berkenaan.