Untuk kembali menyertai Umno, kata Lokman Noor Adam, bekas naib presiden parti itu - Hishamuddin Hussein - perlu menunjukkan kesungguhan bahawa dia benar-benar sudah insaf dan membuat rayuan sendiri agar penggantungannya ditarik balik.
Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Lokman berkata keputusan untuk menggantung atau memecat keahlian seseorang dalam Umno diputuskan oleh majlis kerja tertinggi (MKT) parti berkenaan.
Menurut Lokman, perbincangan mengenai kemungkinan kedudukan Hishammuddin berubah hanya dibuat apabila ia dibincangkan dalam mesyuarat MKT Umno tetapi setakat ini belum ada permohonan mengenainya dibuat.
"Saya belum pernah lagi dengar tuan punya badan (Hishammuddin) merayu. Yang saya tahu tuan punya badan tak nak merayu.
"(Justeru) bagi saya isu ini tak perlu dibincangkan (sebab) kalau tuan punya badan sendiri tak berminat, kemungkinan besar MKT tak bincang dalam mesyuarat," katanya.
Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun selepas MKT parti itu mengadakan mesyuarat pada pada hujung Jan 2023.

Turut dikenakan hukuman bersama Ahli Parlimen Sembrong itu bekas menteri terbabit ialah Timbalan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan Suffian, Noh Omar (bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang), Salim Sharif (bekas Ahli Parlimen Jempol) dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.
Noh bagaimanapun meminta agar Umno memecatnya.
Bagaimanapun kenyataan dikeluarkan Umno pada tarikh berkenaan tidak menyatakan sebab mereka digantung.
Pada 21 Jun lalu pula, Umno Sembrong menggesa Umno menarik balik penggantungan terhadap Hishammuddin secara serta-merta dan tanpa syarat.
Fokus untuk kukuhkan Umno
Ketua Umno Sembrong Abdul Ghani Abdul Rashid berkata ia adalah kali kedua dalam tempoh dua tahun mereka meluluskan usul berkenaan.
Hishammuddin, 63, merupakan antara tokoh berprofil tinggi yang dikenakan tindakan disiplin oleh Umno. Selain pernah menjadi naib presiden, anak kepada perdana menteri ketiga Malaysia itu pernah menjawat pelbagai jawatan kanan termasuk menteri pertahanan.
Lokman berkata selepas dipecat dari Umno, dia menulis sehingga lapan pucuk surat bagi merayu agar diterima semula menjadi anggota parti berkenaan.
Justeru, kata ahli MKT Umno itu lagi, jika benar Hishammuddin serius sudah insaf dan berhasrat kembali setia kepada parti, apa yang perlu dilakukan ialah merayu kepada badan terbabit.
"Beliau juga sewajarnya menunjukkan taat setia kepada parti. MKT Umno perlu diyakinkan bahawa beliau benar-benar bersama parti dan bukan bersama PN," katanya.
Sementara itu Veteran Umno Malaysia turut senada dengan Lokman dan menggesa Hishamuddin mencontohi bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, yang membuat rayuan sendiri untuk kembali ke pangkuan parti.

Setiausahanya, Mustapha Yaakub, juga berharap kedua-dua pihak berlapang dada mencari titik persefahaman sekali gus dapat memperkukuhkan kembali Umno.
"Saya faham Hishammuddin tidak mahu merayu kerana dia tidak tahu sebab dia digantung. Mustahil hukuman penggantungan itu tidak bersebab. Jawatankuasa Disiplin Umno mesti tahu.
"Apa pun saya mengharapkan kedua pihak (Hishammuddin dan MKY Umno) akan berlapang dada. Sekarang masanya untuk bermaaf-maafan, untuk bersatu, masa untuk melupakan kesalahan yang lalu.
"Allah pun boleh mengampuni dosa-dosa manusia," katanya.
Bekas ahli MKT Umno, Armand Azha Abu Hanifah pula berpendapat sekarang adalah masa untuk semua pihak memberikan fokus kepada langkah mengukuhkan Umno - sama seperti yang diinginkan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, peranan Hishammuddin perlu digembelingkan untuk memastikan gerak kerja Umno terus kuat terutama di Johor.
"Beliau sudah berkali-kali menyatakan secara terbuka untuk tutup pintu lama dan buka pintu baru demi kepentingan parti Umno.
"Umno kini harus lebih dinamik dan progresif dalam senario politik terutama untuk terus mengukuh dan memantapkan parti ke arah PRU ke-16.
"Umno harus berjiwa besar dalam menongkah arus pengukuhan parti dengan mendengar hasrat akar umbi dan pimpinan demi kelangsungan pada masa hadapan," katanya.
