Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Maszlee Malik meminta sayap pemuda parti itu "menurunkan ego" mereka dan bersemuka dengan penunjuk perasaan di Sabah yang bertindak membakar karikatur Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Menggelarkan kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu sebagai 'siswa bako-bako', Maszlee berkata, pertemuan di antara pemimpin Pemuda PKR (AMK) - yang pernah menjadi aktivis mahasiswa dan berdemonstrasi itu - perlu bagi membincangkan salah faham serta mengetahui kemahuan mereka.
"Turunkan ego kita untuk kita tundukkan ego mereka. Kita semua hanya mahukan yang terbaik untuk negara dan warga.
"Saya pernah lakukan sewaktu saya menteri dahulu.
"Alhamdulillah kepala demonstran waktu itu, kini telah menjadi ketua PKR Cabang Batu, tahniah," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Pada masa sama bekas menteri pendidikan itu juga menghantar mesej kepada aktivis pelajar yang menzahirkan rasa marah mereka kepada kerajaan dan Anwar.
Kata Maszlee sebagai orang yang pernah melalui zaman muda, dia terbuka untuk menemui mereka bagi membincangkan isu yang mengundang rasa marah kumpulan terbabit.
"Kepada siswa bako-bako, Pak Cik Maszlee bersedia untuk berjumpa anda semua di kampus UMS (Universiti Malaysia Sabah), hatta di asrama anda sekalipun," katanya lagi.
Dia berkata demikian sebagai mengulas aksi membakar karikatur Anwar yang berlaku di akhir bantahan pelajar UMS berkenaan terhadap isu rasuah yang diadakan di Kota Kinabalu, pada Ahad lalu.
Karikatur Anwar yang dibakar itu turut disertakan kenyataan “Madani Pelindung Rasuah Sabah”.
Jurucakap Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Fadhil Kasim berkata kain rentang tersebut melambangkan kritikan pedas terhadap pentadbiran Anwar yang didakwa mereka gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi.
‘Pak cik pernah muda’
Antara kritikan lain terhadap Anwar adalah berhubung pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Menanggapi perkara itu lagi, Maszlee berkata tiada ertinya jika orang muda lari daripada idealisme. Namun, katanya, pada masa sama perlu disedari bahawa idealisme itu datang bersama adab dan tatasusila.
"Memang ramai marah pada siswa UMS bako-bako ni, tapi cukupkah sekadar kenyataan media dan kecaman? Ia tidak ke mana.
"Siswa tersebut akan berasa ditekan, diintimidasi, dizalimi dan bertambah yakin serta ego bahawa mereka berada di jalan yang betul.
"Kepada para pemimpin AMK dan mantan AMK yang pernah bergelumang dengan demo dan aktivisme, jangan kita lupakan sejarah kita, akar kita, dan pengalaman yang kita pernah lalui.
"Bebudak bako-bako ini perlukan bimbingan dan tunjuk ajar," katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Tambah Maszlee, dia yakin jika mereka bertemu dan berbincang akan ada natijah yang baik terhasil.
"Pak cik yakin banyak benda kita boleh bertukar pandangan meskipun pak cik bukan sesiapa dan tiada jawatan apa-apa pun.
"Pak cik pernah muda, pak cik juga hidup dengan idealisme, dan pak cik juga pernah melakukan khilaf. Itu adat dan resmi manusia.
"Anda hanya perlu DM (direct message) pak cik sahaja untuk kita bertemu. Benda boleh bincang buat apa nak gaduh?" ujarnya.
