Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal Saleh individu terakhir layak cakap soal adab - NGO Sabah
Diterbitkan:  Jun 24, 2025 7:02 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Sebuah NGO berpangkalan di Sabah mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang menyifatkan mahasiswa sebagai “bodoh, kurang ajar serta hilang adab” susulan tindakan sekumpulan penunjuk perasaan di Sabah yang membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Akmal Saleh adalah individu terakhir di Malaysia yang layak bercakap mengenai soal adab, kerana beliau sendiri telah berkali-kali menunjukkan sikap yang tidak beradab selama ini.

“Lihat sahaja kelakuan dan kenyataan beliau dalam pelbagai isu sebelum ini, banyak isu yang ditimbulkannya tanpa mempedulikan adab.

“Sejak bila beliau memahami dan mengendahkan kepentingan adab?” soal Presiden NGO Sabah Entitlement and Equity Now, Duncan Cheng dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi Akmal mengecam tindakan peserta penunjuk perasaan di Sabah yang membakar karikatur perdana menteri.

Dia yang juga exco Melaka menyifatkan peserta yang berbuat demikian sebagai bodoh dan kurang ajar.

Akmal turut mengundang individu yang berbuat demikian untuk mengadakan pertemuan dengannya.

Mengulas lanjut, Duncan berkata kenyataan Akmal itu sangatlah kelakar dan diibaratkan umpama "ketam mengajar anaknya berjalan lurus."

“Beliau menegur mahasiswa kononnya tidak beradab, sedangkan dirinya sendiri gagal menunjukkan contoh yang baik.

“Nasihat daripada kami kepada Dr Akmal Saleh: ‘Ibu ketam harus membetulkan cara jalannya dahulu, barulah anak ketam akan mencontohinya.’

“Pokok pangkalnya, beliau perlu memulakan dengan menunjukkan perilaku yang beradab terlebih dahulu, barulah para mahasiswa akan mencontohi teladan itu,” katanya.

Duncan turut mempersoalkan pihak yang mengecam tindakan mahasiswa sebagai "berbahaya" dan "mengancam keselamatan awam".

“Mengapa lubang jalan di Sabah yang telah meragut nyawa rakyat tidak pernah diklasifikasikan sebagai ancaman keselamatan awam?

“Jika benar-benar prihatin tentang nyawa dan keselamatan, di manakah suara mereka ketika rakyat Sabah terbunuh akibat infrastruktur yang daif?” soalnya.

Duncan berkata lebih membimbangkan, apabila tiada seorang pun pemimpin, termasuk Akmal yang bersuara mengenai insiden serangan asid terhadap kenderaan milik Presiden Suara Mahasiswa UMS, Fadhil Kasim, yang berlaku pada malam demonstrasi tersebut.

“Bukankah ini satu bentuk keganasan yang sebenar? Mengapa mereka memilih untuk membisu seribu bahasa?” soalnya.

Menurutnya, aksi pembakaran karikatur perdana menteri, berserta tulisan “Madani Pelindung Rasuah Sabah” telah memberikan isyarat yang sangat jelas kepada kerajaan Madani, termasuk Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor bahawa terdapat sembilan orang Adun dan Speaker DUN yang terlibat dalam skandal rasuah lesen perlombongan mineral di Sabah.

“Soalnya, kenapa hanya dua Adun (sahaja) akan didakwa ke mahkamah pada 30 Jun akan datang?

“Bagaimana dengan proses pendakwaan selanjutnya, dan bilakah tindakan terhadap baki tujuh Adun dan seorang Speaker DUN akan diambil.

“Sekiranya kerajaan Madani gagal mengambil tindakan yang adil dan tegas terhadapt semua yang terlibat, perkara ini akan terus menimbulkan kemarahan serta ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat,” tegasnya.

Aksi membakar karikatur Anwar itu berlaku di akhir bantahan pelajar terhadap isu rasuah yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lalu.

Ia melambangkan kritikan pedas terhadap pentadbiran Anwar, yang didakwa mereka sebagai gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi, termasuk berhubung pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Sebelum ini, ahli politik berusia 74 tahun yang juga bekas ketua menteri Sabah itu pernah berdepan 46 pertuduhan rasuah di mahkamah pada 2018.

Bagaimanapun, dia dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan apabila pendakwa raya menarik balik kes terhadapnya pada Jun 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS