Tiga aktivis mahasiswa Sabah yang ditahan awal hari ini berhubung perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketiga-tiga mereka - Fadhil Kasim, Aliff Danial Badrul Akmal Hisham dan Sabir Syarafuddin - keluar dari ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu kira-kira 7.50 malam.
Bercakap kepada media sejurus selepas dibebaskan, Fadhil berkata polis telah membuka siasatan terhadap mereka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang menyentuh mengenai kesalahan berkaitan menghina kehormatan seseorang, dan Seksyen 4 Akta Hasutan.
Dia melahirkan kekecewaan terhadap keputusan pihak berkuasa untuk menggunakan Akta Hasutan, dan menegaskan bahawa ia adalah undang-undang zalim yang telah dibantah oleh pemimpin yang berkuasa hari ini.
“Akta Hasutan masih lagi terpakai di zaman Madani ini.
“Pemimpin-pemimpin Madani selama ini mengecam Akta Hasutan, tetapi hari ini mahasiswa dan alumni UMS dikenakan Akta Hasutan, zaman Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri,” kata Fadhil semasa sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Suara Mahasiswa UMS.
Menurut aktivis itu, selepas memberikan kenyataan seperti yang dikehendaki undang-undang di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, mereka dibawa ke bilik lain untuk soal siasat lanjut.
Fadhil mendakwa bahawa seorang polis, yang didakwa dari Bukit Aman, ingin merekodkan "intelligent statement" daripada ketiga-tiga mereka.
Mereka bagaimanapun enggan berbuat demikian selepas mendapat nasihat daripada peguam.
Dalam sidang media itu, Fadhil turut mengecam polis berhubung tindakan yang diambil ketika menangkap mereka.
Fadhil berkata, dia pergi ke ibu pejabat polis daerah untuk membantu siasatan berhubung serangan asid yang merosakkan beberapa kereta semasa perhimpunan pada hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, dia dan Aliff sebaliknya dikepung oleh lebih 10 anggota polis dan ditahan berhubung protes itu.
Pelajar UMS itu mendakwa seorang polis berpakaian preman turut "menghempas" tangannya semasa pertengkaran.
Fadhil berkata, dia segera meminta beberapa pegawai forensik polis, yang berada berhampiran, untuk menjadi saksi terhadap dakwaan serangan itu.
“Tapi dia kata 'tidak, saya di sini buat kerja, saya tidak nampak'," katanya.
Menurut Fadhil, mereka perlu kembali ke ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu Khamis ini untuk satu lagi sesi soal siasat.
Dia juga berterima kasih kepada mereka yang telah menyokong dan menyuarakan solidariti dengan mereka.
"Kita tidak akan pernah menyerah pada mereka yang sedang asyik dibuai kekuasaan," katanya.
Dilaporkan bahawa polis awal hari ini menahan Fadhil, Aliff Danial dan Syabir berhubung perhimpunan antirasuah itu.
Fadhil dan Kasim terlibat membakar kain rentang yang mengandungi karikatur Anwar semasa protes itu.
