Nisbah kutipan cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal rendah iaitu sekitar 12.5 peratus, jauh di bawah paras purata rantau ini.
Hanya Indonesia mencatatkan nisbah yang lebih rendah, menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.
Dalam satu temu bual bersama Malaysiakini, Johan mengakui asas cukai Malaysia adalah “relatif rendah” berbanding negara jiran, dengan Singapura mencapai 15 peratus daripada KDNK, manakala negara seperti Thailand dan Vietnam melebihi paras itu.
“Saya rasa isu yang lebih besar, yang mungkin patut saya sentuh, ialah nisbah cukai kepada KDNK Malaysia masih agak rendah. Jadi jika dilihat kepada nisbah cukai kepada KDNK, sama ada pada 2023 atau 2024, kita hanya mencapai sekitar 12.5 peratus daripada KDNK. Dalam rantau ini, hanya Indonesia yang lebih rendah, dan itu pun sedikit sahaja berbanding Malaysia,” kata Johan.
Dia mengakui bahawa Malaysia mengutip cukai lebih rendah berbanding negara serantau, tetapi menjelaskan bahawa ini adalah dasar yang disengajakan untuk kekal berdaya saing, tanpa “membebankan rakyat dan perniagaan secara berlebihan.”
Menurutnya, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha menutup kebocoran supaya kutipan cukai Malaysia boleh ditingkatkan dan menyamai tahap negara lain di rantau ini.

Ketika ditanya mengenai jumlah ketirisan, Johan berkata data terpeinci belum ada, tetapi kerajaan sedar mengenai keseriusan isu tersebut.
Ekonomi gelap
Malaysia juga berdepan cabaran daripada ekonomi gelap – iaitu individu atau perniagaan yang tidak mematuhi undang-undang cukai.
“Ini memang antara fokus utama. Malah, perdana menteri sendiri minta kami beri perhatian khusus,” katanya, merujuk kepada golongan yang masih belum membayar cukai sepatutnya.
Kerajaan kini meningkatkan tindakan penguatkuasaan, termasuk lebih banyak serbuan oleh agensi cukai, pemeriksaan ketat ke atas barang import di pelabuhan, serta tindakan ke atas pengelak cukai.
Johan berkata, antara langkah penting ialah pelaksanaan sistem e-invois yang boleh membantu mengurangkan kebocoran dan menutup jurang pematuhan.
Namun, pelaksanaan sistem ini ditangguh untuk beberapa kumpulan perniagaan. Pada 5 Jun lalu, LHDN mengumumkan bahawa perniagaan dengan pendapatan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta akan mula menggunakan sistem tersebut mulai 1 Januari 2026.

Manakala perniagaan kecil yang berpendapatan di bawah RM500,000 setahun masih dikecualikan sepenuhnya daripada sistem e-invois.
LHDN turut memaklumkan bahawa pelaksanaan untuk kumpulan yang berpendapatan hingga RM1 juta ditangguh ke 1 Julai 2026, menurut laporan Bernama.
Penangguhan ini dibuat kerana kerajaan memahami bahawa perniagaan mikro, kecil dan sederhana masih menghadapi banyak cabaran teknikal dan perlukan masa untuk bersedia.
