Kenaikan pendapatan rakyat kepada RM4,000 tidak semestinya menjadikan kehidupan lebih mudah jika diiringi dengan peningkatan kos sara hidup, kata Pakar Ekonomi Universiti Malaya (UM), Profesor Mohd Nazari Ismail.
Dia menegaskan bahawa situasi di negara berpendapatan tinggi seperti Jepun dan Amerika Syarikat (AS) membuktikan bahawa walaupun gaji lebih besar, rakyat tetap berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan asas, termasuk memiliki rumah.
"Jadi, kita perlu faham, kenaikan pendapatan bukan petanda bahawa rakyat akan lebih senang pada masa depan," katanya kepada Malaysiakini.
Mohd Nazari diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum sesuai dilaksanakan semula berikutan nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan tidak menolak sepenuhnya cadangan pelaksanaan semula GST yang dianggap efisien dan telus, namun lebih mengutamakan kemampuan rakyat berikutan sistem percukaiannya memberi kesan secara menyeluruh.
Katanya, kerajaan berpendapat pelaksanaan semula GST hanya wajar dipertimbangkan apabila purata pendapatan rakyat meningkat ke tahap lebih munasabah iaitu sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.
Sementara itu, Mohd Nazari mencadangkan bahawa cara yang lebih munasabah untuk melaksanakan GST adalah dengan memberikan pengecualian kepada barangan dan perkhidmatan asas, terutamanya bagi kumpulan B40.
"GST boleh diperkenalkan sekarang pada kadar yang lebih rendah untuk memastikan ia tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah," tambahnya.
Dia juga menolak alasan bahawa GST perlu ditangguh semata-mata kerana pendapatan rakyat belum mencapai tahap tertentu.
Sebaliknya, katanya, pelaksanaan GST yang telus dan adil mampu mengukuhkan ekonomi negara tanpa menindas rakyat.
Dia memberi contoh keadaan di Jepun dan AS dengan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan ramai rakyat sukar memiliki rumah walaupun bergaji besar.
"Di Malaysia, kita masih bernasib baik kerana kos sara hidup tidak setinggi di sana, tetapi kita perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam situasi yang sama," katanya.
"Dengan pelaksanaan dasar yang bijak, termasuk sistem cukai yang lebih efisien seperti GST, kerajaan dapat mengimbangi antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.
SST kurang tekanan psikologi
Dalam pada itu, Prof Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR) berpendapat Sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih baik untuk rakyat Malaysia berbanding GST.
Dia menjelaskan bahawa walaupun GST dan SST merupakan cukai tidak langsung, kaedah pelaksanaan dan kesannya terhadap pengguna adalah berbeza.
"GST dikenakan secara terbuka dalam resit pembelian, menyebabkan pengguna lebih tertekan kerana dapat melihat jumlah cukai yang dibayar.
"SST pula dikenakan pada peringkat pengilang atau pengimport, lalu diserap dalam harga barangan. Pengguna tidak nampak cukai itu secara langsung, jadi kurang tekanan psikologi," katanya.
Dia menekankan bahawa GST cenderung membebankan rakyat berpendapatan rendah kerana cukai dikenakan ke atas kebanyakan barangan, kecuali beberapa keperluan asas.
"SST boleh distrukturkan untuk memberi pengecualian lebih luas bagi barangan keperluan asas seperti makanan asas, perubatan, dan pendidikan. Ini membantu meringankan beban kewangan golongan B40," katanya.
Dia turut membandingkan kecekapan kedua-dua sistem, dengan menyatakan bahawa GST yang lebih kompleks boleh menyebabkan cukai berganda, seterusnya meningkatkan kos barangan.
"SST, jika dilaksanakan dengan baik, boleh mengelakkan isu ini dan membantu menstabilkan harga," ujarnya.
