Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu Syed Saddiq maafkan orang yang zalimi, aniaya anaknya

Di sebalik keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan salah dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dikenakan terhadapnya, figura yang paling banyak menahan gelora perasaan adalah ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.

Dalam kenyataan penuh syukur dan keinsafan, Sharifah Mahani menzahirkan penghargaan kepada semua yang setia menyokong anaknya sepanjang lima tahun prosiding kes itu.

Menurut Sharifah Mahani, sebagai seorang ibu, dia mengakui lima tahun itu bukan tempoh yang pendek sebaliknya ia dilalui penuh cabaran, tekanan dan keresahan, terutama apabila melihat anak sendiri dizalimi dan dipinggirkan semata-mata kerana pendirian politiknya.

“Kadang-kadang, sebagai ibu, hati ini berdetak kencang. Ada kalanya terdetik untuk berkata kepadanya, cukuplah, jangan teruskan.

“Janganlah terlibat dalam politik lagi, kerana keadaannya terlalu sukar. Ramai yang tidak mahu bekerjasama,” katanya.

Namun, Sharifah Mahani berkata dia tetap reda dan percaya bahawa perjuangan anaknya bukan untuk kepentingan diri, tetapi demi rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Saya bersyukur kerana dikelilingi insan-insan yang menyayanginya. Semangatnya begitu kuat untuk rakyat dan untuk Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq yang hadir bersama pada sidang media itu berkata sepanjang lima tahun prosiding kes itu, ibu bapanya tidak terkecuali disoal siasat.

"Ibu ayah masuk keluar disoal siasat. Saya sebagai anak rasa begitu bersalah kerana tekanan sampai ibu menghidap penyakit kanser lagi sekali," katanya.

Mengulas lanjut, Sharifah Mahani memberi peringatan bahawa setiap perbuatan zalim pasti ada balasannya.

“Bagi mereka yang menganiaya anak saya, saya berdoa agar Allah memberikan mereka hidayah. Hidup ini sementara, bukan untuk selama-lamanya.

“Janganlah kita aniaya orang lain, kerana balasannya bukan hanya di akhirat, tetapi boleh datang di dunia ini juga.

“Kami semua sayangkan anak saya. Beliau dididik untuk sentiasa bekerjasama dan tidak menimbulkan masalah kepada sesiapa. Saya memilih untuk memaafkan mereka atas segala penganiayaan yang dilakukan terhadap anak saya,” katanya.

Dia juga turut menitipkan harapan dan doa agar perjuangan Syed Saddiq terus diberkati.

Mahkamah Rayuan, hari ini melepas dan membebaskan bekas Presiden Muda itu daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Pemuda Bersatu (Armada).

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara memutuskan bekas menteri itu tidak bersalah, sekali gus menerima rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS