Bersih hari ini dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi untuk memainkan peranan sebagai amicus curiae (peguam pemerhati dengan kebenaran berhujah) dalam kes semakan kehakiman yang mencabar keabsahan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.
Permohonan tersebut dikemukakan melalui peguam Ramkarpal Singh dan Kuhan Manokaran dalam kes Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim melawan Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Hakim Mahkamah Tinggi, Amarjeet Singh Serjit Singh, membenarkan permohonan tersebut, sekali gus memberi ruang kepada Bersih memberi pandangan sebagai suara berkecuali dalam prosiding tersebut.
Bersih dalam kenyataan mengucapkan penghargaan kepada mahkamah atas kepercayaan yang diberikan, dan menyatakan komitmennya untuk membawa suara rakyat dalam usaha memperkukuh kebebasan institusi kehakiman, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa.
"Menerusi ruang ini, Bersih akan membawa suara rakyat untuk menambahbaik sistem kebebasan kehakiman selari dengan doktrin pengasingan kuas," katanya.
Bersih turut menekankan kes ini amat penting dan sebarang keputusan yang di buat oleh Mahkamah Tinggi adalah bersangkutan dengan perkara kepentingan awam yang menjadi landasan kepada objektif gabungan itu.
Pada Mei lalu, Syed Amir yang merupakan seorang peguam memfailkan semakan kehakiman dengan hujah bahawa Akta JAC adalah tidak berperlembagaan.
Dia memohon perisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kuasa yang diberikan kepada JAC bercanggah dengan Perlembagaan, khususnya Perkara 122B yang memperincikan proses pelantikan hakim ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi.
Syed Amir berhujah bahawa Akta JAC mencampuri proses perlembagaan dan kebebasan kehakiman dengan membolehkan perdana menteri dan pegawai kerajaan mempengaruhi pelantikan hakim, sesuatu yang bertentangan dengan piawaian antarabangsa bagi badan kehakiman yang bebas.
Dia turut memohon perintah mahkamah yang mengarahkan perdana menteri dan kerajaan mematuhi proses pelantikan kehakiman yang sewajarnya tanpa campur tangan daripada JAC.
Sementara menunggu penyelesaian kes ini, Syed Amir merayu agar mahkamah mengeluarkan perintah penggantungan interim terhadap semua pelantikan kehakiman di bawah Akta JAC 2009 sehingga isu ini diselesaikan sepenuhnya oleh mahkamah.
TIndakan itu diambil ketika sembilan daripada 14 hakim kanan dilaporkan akan bersara wajib tahun ini.
Mendahului senarai tersebut ialah Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang akan mencapai umur 66 tahun bulan depan.
Turut dilaporkan bakal bersara ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, dan Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim.
