Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Gagal lanjut khidmat hakim kanan boleh bawa padah pada kerajaan'
Diterbitkan:  Jun 25, 2025 2:58 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Menjelang persaraan tiga hakim kanan, para pakar perundangan berkata kegagalan melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim-hakim yang berwibawa boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

"Banyak yang masih belum memuaskan dalam layanan yang tidak boleh diterima terhadap para hakim ini.

"Sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat atas janji teguh untuk membina institusi yang kukuh dan bebas serta sistem semak dan imbang, akan kehilangan kepercayaan dan sokongan sekiranya badan kehakiman dilemahkan," kata beberapa bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Mereka yang mengeluarkan kenyataan tersebut ialah Zainur Zakaria, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Christopher Leong dan Steven Thiru.

Dua hari lalu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat memaklumkan bahawa masih belum ada sebarang perkembangan mengenai kemungkinan lanjutan tempoh perkhidmatannya, serta dua lagi hakim kanan negara.

Tempoh perkhidmatan Tengku Maimun dijadualkan tamat pada 1 Julai ini.

Dua lagi tokoh hakim tersebut ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim yang dijangka bersara pada 2 Julai, dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan pada 22 Ogos.

Mengikut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, hakim Mahkamah Persekutuan boleh berkhidmat sehingga umur 66 tahun, dengan kemungkinan lanjutan enam bulan tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong.

Kenapa abaikan hakim cemerlang?

Menyatakan rasa tidak puas hati terhadap situasi semasa, sekumpulan peguam kanan menyifatkan adalah sesuatu yang membingungkan mengapa pelanjutan perkhidmatan tiga tokoh hakim yang cemerlang ini masih belum diputuskan, sedangkan ketika ini sistem kehakiman kekurangan hakim kanan yang berpengalaman.

"Kenapa dikecualikan mereka, sedangkan tidak dapat dinafikan bahawa mereka telah menjalankan tugas dengan penuh integriti mengikut tradisi terbaik badan kehakiman?

"Cukup sekadar membaca penghakiman mereka untuk memahami mengapa kami terkejut, dan percaya bahawa kegagalan melanjutkan tempoh mereka merupakan satu kesilapan besar," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Rekod cemerlang dan pengiktirafan antarabangsa

Para peguam berkenaan turut memuji kredibiliti dan pencapaian ketiga-tiga hakim tersebut, dengan menyatakan bahawa Tengku Maimun telah memulihkan maruah badan kehakiman dengan kepimpinan yang berasaskan integriti, intelektualisme, keberanian dan maruah.

Tambah mereka, ketiga-tiga tokoh ini menampilkan ciri-ciri unggul yang menjadikan mereka barisan terbaik dalam kalangan hakim Mahkamah Persekutuan.

"Mereka telah mengangkat badan kehakiman Malaysia ke tahap pengiktirafan dan reputasi antarabangsa. Hakim-hakim kita kini antara yang paling dihormati di dunia.

"Beberapa kajian dan laporan antarabangsa terkini membuktikan perkara ini. Kita seharusnya berbangga dengan pencapaian besar ini," tambah mereka.

Beri mesej tertentu?

Para peguam itu turut menyuarakan kebimbangan bahawa terdapat persepsi awam kononnya pelanjutan tempoh perkhidmatan hakim-hakim berkenaan tidak dipertimbangkan kerana penghakiman mereka tidak sejajar dengan kehendak pihak berkuasa tertentu — sekali gus menyampaikan mesej tidak langsung agar hakim-hakim lain “mengikut arahan”.

"Sama ada benar atau tidak, persepsi seperti ini menggugat asas kebebasan badan kehakiman, dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi ini.

"Kami menggesa kerajaan agar tidak membiarkan sebarang langkah ke belakang dalam usaha mempertahan, memupuk dan melindungi kebebasan badan kehakiman, kerana ini hanya akan membawa kita kembali ke era silam yang tidak ingin diulang oleh rakyat Malaysia," tegas mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS