Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar tongkah arus, mahu PAS ketepi perkauman sempit
Diterbitkan:  Jun 25, 2025 6:36 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Annuar Musa, dilihat memilih jalan ‘berbeza’ semasa mengulas kenaikan pangkat seorang pegawai tentera bukan Melayu dengan menegaskan bahawa pertahanan negara mesti mengatasi sempadan pemikiran sempit berasaskan kaum.

Namun begitu, kepimpinan tertinggi PAS masih berdiam diri berhubung kecaman terhadap kenyataan menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Zaharuddin Muhammad, mengenai pelantikan seorang anggota tentera berbangsa Cina ke jawatan leftenan jeneral.

Zaharuddin Muhammad

Meskipun tidak menyebut nama Zaharuddin secara langsung, Annuar berkata penyertaan dalam angkatan tentera harus dilihat sebagai satu tugas mulia oleh semua rakyat Malaysia.

“Marilah kita ketepikan sentimen perkauman yang sempit. Mari kita lindungi negara bersama-sama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Annuar turut menyifatkan pelantikan Johnny Lim daripada mejar jeneral ke leftenan jeneral sebagai perkembangan positif.

“Ia satu perkembangan yang baik, satu dorongan kepada rakyat Malaysia untuk melihat pertahanan negara adalah tugasan nasional yang menjadi tanggungjawab kita semua.

“Rakyat Malaysia yang berbagai kaum dan suku bangsa hendaklah sama sama kehadapan, berganding bahu mempertahankan negara,” katanya.

Kenyataan Zaharuddin dibuat 72 jam selepas Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, bersetuju dengan pandangan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim bahawa pendekatan inklusif amat penting untuk membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.

Zaid berhujah bahawa PAS, yang masih bergelut untuk memenangi sokongan pengundi bukan Melayu-Islam, boleh memacu Malaysia ke tahap lebih tinggi sekiranya parti itu menggabungkan kejelasan moral dengan tadbir urus yang baik dan pendekatan yang inklusif.

Pengkritik sejak sekian lama menuduh PAS – khususnya presidennya – sebagai punca jurang kaum dan agama dalam masyarakat majmuk Malaysia terus menjunam.

Mereka berhujah bahawa retorik Hadi serta pendirian keras partinya seringkali menjarakkan hubungan dengan komuniti minoriti dan menggagalkan usaha untuk membina negara yang lebih inklusif dan harmoni.

Terdahulu semalam, Zaharuddin – yang juga ketua PAS kawasan Sungai Buloh – memuat naik satu senario hipotesis yang kononnya berlaku pada tahun 2058, apabila seorang individu berbangsa Cina dari Kampung Sungai Baru – kini kawasan majoriti Melayu – dilantik sebagai perdana menteri ke-50 Malaysia.

Dia turut menyertakan tangkap layar artikel berita semalam berkenaan pelantikan Johnny Lim daripada mejar jeneral kepada leftenan jeneral dalam angkatan tentera.

Walaupun Zaharuddin menegaskan bahawa pelantikan tersebut tiada kaitan dengan senario rekaan yang dikemukakannya, pemimpin DAP Lim Guan Eng menyifatkan hantaran itu bersifat “menghasut”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS