Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menyelar keras kenyataan seorang pemimpin PAS, Zaharuddin Muhammad yang mempertikai pelantikan Johny Lim Eng Seng sebagai leftenan jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hanya kerana dia berbangsa Cina.
Dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini, Sim menyifatkan tindakan tersebut sebagai “kenyataan jahat” dan mendesak agar tindakan undang-undang dikenakan terhadap Zaharuddin, yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Sungai Buloh.
“Namun saya berasa sangat marah, ada pemimpin PAS yang seolah-olah mengecam pelantikan beliau hanya kerana beliau berbangsa Cina.
“Sedih kerana Leftenan Jeneral Johny Lim dihina, dan sedih kerana pemimpin PAS tersebut sebenarnya telah menghina ribuan anak Malaysia lain yang setiap hari menyarung celoreng, rela berjauhan dengan keluarga, tak kira panas dan hujan, tidur di hutan dan sempadan demi pengorbanan buat tanah air ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Sim berkata kenyataan Zaharuddin yang juga merupakan menantu kepada Presiden PAS, Abdul Hadi awang itu bukan sahaja bersifat rasis tetapi juga memperlekeh kepercayaan ATM dan Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

“Ketika peluru musuh datang, ia tak tanya tentera kita tu Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli.
“Tapi bila pelantikan diumumkan, ada pula yang pandang bangsa lebih dari pengorbanan buat negara,” katanya.
Menurut Sim lagi, Johny Lim, dengan pengalaman 41 tahun dalam perkhidmatan tentera, layak menyandang jawatan berkenaan dan sepatutnya dihargai, bukan dicemuh.
“Apakah pengorbanan leftenan jeneral ini selama 41 tahun dalam perkhidmatan itu masih belum cukup ‘layak’ pada beliau?
“Apakah cinta seorang perajurit buat tanah air ini perlu diukur dengan warna kulit?” soalnya.

Sim turut memetik nama tokoh-tokoh tentera bukan Melayu terdahulu, antaranya Laksamana Muda (Bersara) K Thanabalasingam dan Brigedier Jeneral Goh Seng Toh, sebagai bukti sumbangan besar rakyat Malaysia pelbagai kaum dalam pertahanan negara.
“Kenyataan jahat berbaur perkauman, menghasut dan derhaka sebegini harus dikenakan tindakan undang-undang yang keras sebagai pengajaran kepada orang politik tak kira parti apa, jangan sesekali bermain api perkauman!” katanya lagi.
Zaharuddin sebelum ini dalam hantaran di media sosial membuat analogi tentang perdana menteri bukan Melayu yang dilahirkan oleh pasangan warga asing yang mendapat kerakyatan negara ini melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan "membeli kondo di situ 23 tahun yang lalu."
MM2H ialah program yang membolehkan warga asing menetap di Malaysia sebagai rumah kedua mereka dengan syarat memenuhi keperluan undang-undang yang ditetapkan.
Peserta MM2H diberi kebenaran untuk tinggal di negara ini bagi tempoh sehingga 10 tahun dan terbuka kepada pembaharuan.
"Tidak mustahil berita ini akan keluar dan jadi neutral 30, 40 tahun akan datang," katanya.

Zaharuddin kemudian mengiringi hantaran tersebut dengan tangkap layar laporan berita mengenai penganugerahan pangkat leftenan jeneral kepada Mejar Jeneral Johnny Lim.
Menurut Angkatan Tentera Malaysia, Lim - anak kelahiran Melaka - merupakan pegawai bukan Melayu yang pertama diberikan pangkat berkenaan. Majlis penganugerahan itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Mohd Nizam Jaffar kelmarin.
Bagaimanapun Zaharuddin mendakwa gambar yang dilampirkannya itu sekadar hiasan.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan ramai, termasuk veteran tentera yang menganggapnya sebagai penghinaan kepada integriti ATM dan institusi Raja.
