ULASAN | Dalam gelap malam yang berselimut kabus, di terminal yang hampir lengang di Kuala Terengganu, saya duduk di kerusi plastik keras menunggu bas ekspres yang akan membawa saya pulang ke Kelana Jaya.
Sebagai warga emas dan penulis yang pulang ke tanah air setelah bertahun di perantauan, pengalaman berulang-alik dari UniSZA sebagai karyawan tamu ke kota penuh nostalgia ini bukan sekadar perjalanan jasmani, tetapi juga pengalaman batin yang memupuk keinsafan dan menghidupkan kembali kenangan silam.
Selalunya bas tiba menjelang tengah malam dan meluncur deras di lebuh raya menembus hening pagi dan menghantar saya ke Terminal Bas Bersepadu sebelum fajar menyingsing. Mata saya jarang tertutup sepenuhnya dalam perjalanan itu.
Saya lebih senang memerhati - merenung pemandangan malam, menghafal lampu jalan yang menjalar seperti ayat-ayat rahsia, dan memerhati pemandu bas yang seakan-akan menjadi pelayar lautan aspal.
Saya terkenang suatu malam beberapa tahun lalu. Saya dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kangar, Perlis, setelah menerima khabar bahawa ibu tercinta kembali ke rahmatullah. Bas itu menempuh jalan-jalan sunyi yang membelah hutan di Grik.
Malam itu, bas meluncur laju seakan-akan memahami kesedihan saya dan mahu bergegas untuk sampai ke pangkuan tanah kelahiran ibu. Kami tiba sebelum subuh. Saya turun dari bas dalam linangan air mata, menyedari bahawa hidup ini adalah satu perjalanan merantau yang panjang.
Dalam setiap perjalanan itu, saya terfikirkan pemandu-pemandu bas yang menjadi tunjang perjalanan rakyat marhaen. Merekalah penjaga malam, pengawal selamat penumpang yang lena atau lesu, pelakon tanpa pentas dalam detik harian hidup rakyat.
Namun, adakah mereka dihargai secara setimpal? Atau adakah kita hanya menoleh apabila tragedi menyapa?
Macam bermain dengan maut
Saya ingin membandingkan dua jenis pemandu kenderaan berat – pemandu bas dan pemandu lori tangki minyak – yang sering dipandang dari sudut berbeza.
Pengalaman dan pengamatan saya menunjukkan bahawa syarikat-syarikat minyak besar seperti Petronas, Shell atau Caltex menyediakan prosedur keselamatan yang amat ketat. Pemandu lori minyak biasanya hanya dibenarkan memandu selama dua jam sebelum wajib berehat.
Jika mereka memandu melebihi had laju, mereka bukan sahaja disaman pihak berkuasa, malah dikenakan tindakan oleh syarikat sendiri.
Kenderaan mereka pula dilengkapi pelbagai peranti pengesanan seperti GPS dan pengesan kelajuan. Ketika proses memindahkan petrol, ada SOP yang wajib dipatuhi. Mereka tidak bebas melanggar disiplin.
Mereka tahu – kesilapan kecil boleh membawa maut.
Namun, berbeza pula dengan dunia pemandu bas. Saya sendiri – yang yang banyak kali menaiki bas ekspres dari dan ke Kuala Terengganu – kerap merasa kenderaan itu meluncur dengan kelajuan melebihi had.

Dalam hujan lebat sekalipun, mereka tidak mengurangkan kelajuan seakan-akan sedang kejar mengejar dengan maut.
Jalan-jalan kecil yang berliku di daerah pedalaman – dari Ajil ke Jeli, dari Tanah Merah ke Gua Musang – sering menjadi pentas kepada aksi-aksi memecut yang menggerunkan.
Saya pernah memerhati kelajuan yang mencecah 130 km/j hingga 150 km/j dan bukan sekali ia dilakukan. Malah, ada ketikanya saya menyusuri belakang bas dengan kereta sekadar ingin menyaksikan sejauh mana mereka melanggar batas yang ditetapkan.
Pemandu bas ekspres, terutama yang memandu pada waktu malam, memikul beban besar – nyawa berpuluh penumpang dalam kenderaan panjang dan berat. Namun apakah beban mereka ini diberi ganjaran yang adil?
Atau adakah mereka dipaksa memandu berlebihan dengan bayaran asas yang tidak mencukupi untuk keperluan hidup dan keluarga?
Tiada tidur sempurna
Menurut data rasmi, sepanjang 2023 sahaja terdapat lebih 4,000 kemalangan membabitkan kenderaan berat termasuk bas dan lori, dengan lebih 500 kematian direkodkan.
Statistik dari Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pengangkutan mendedahkan dari 2019 hingga Nov 2024, berlaku 548 kemalangan bas yang mengorbankan 153 nyawa.
Angka ini sangat membimbangkan, apatah lagi apabila diambil kira bahawa dalam suku pertama tahun 2024 saja, sudah ada 652 kemalangan kenderaan berat termasuk bas.
Itu baru jumlah untuk tiga bulan pertama tahun berkenaan.
Adakah angka ini mengejutkan kita, atau kita sudah kebas dengan statistik maut? Adakah nyawa itu semurah angka, atau semahal pengumuman menteri selepas sidang media?
Persoalan pokoknya, apakah kebajikan pemandu bas ekspres terjaga? Mereka memandu malam dan siang, kadang-kadang dengan tempoh rehat yang tidak cukup.
Ada yang memandu dua atau tiga trip tanpa tidur yang sempurna. Ada yang tidak mendapat perlindungan sosial atau skim perubatan yang memadai.
Perbezaan ketara antara pemandu bas dan pemandu lori minyak bukan sekadar pada kenderaan atau syarikat, tetapi pada struktur kebajikan dan tanggungjawab majikan.
Mengapa syarikat minyak mampu menegakkan protokol keselamatan, tetapi syarikat bas tidak?

Apakah kerana keuntungan syarikat minyak lebih besar lalu pekerja mereka lebih berharga? Adakah nyawa penumpang bas – rakyat biasa – kurang nilainya daripada setitik petrol yang tumpah?
Keadaan jalan raya di negara kita menambahkan kerumitan ini. Kecuali di lebuh raya bertol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) yang terjaga, jalan raya di luar bandar, di kawasan pergunungan, di kawasan pantai dan pinggir kampung sering tidak rata, berlubang, atau tidak mempunyai lampu jalan yang mencukupi.
Saya pernah melalui jalan dari Kuala Nerus ke Setiu yang gelap gelita, tanpa sebarang papan tanda reflektif. Jalan itu seolah-olah dibina hanya untuk digunakan pada waktu siang.
Apabila jalan berlubang bertemu dengan pemandu yang mengantuk atau terdesak mengejar masa, maka bencana mudah berlaku.
Beri insentif pada syarikat patuh
Tidak kurang pula yang terpaksa mengelak kenderaan rosak di tengah jalan yang tidak diberi amaran mencukupi, atau haiwan liar yang melintas di kawasan hutan.
Jalan raya kita seperti ujian nyawa terbuka apabila setiap kilometer adalah suatu pertaruhan.
Saya tidak mempersoalkan kecekapan pemandu bas secara mutlak, malah saya pernah berbual dengan beberapa pemandu yang amat berdedikasi dan berhemah. Mereka tahu setiap inci jalan dari Kuantan ke Kuala Lumpur, dari Alor Setar ke Johor Bahru.
Tetapi sistem yang menyokong mereka sering rapuh, tidak sepadan dengan tanggungjawab besar yang mereka pikul.
Malaysia mencatatkan puluhan ribu pemandu bas, termasuk bas awam, sekolah dan ekspres. Menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah rasmi pemandu bas di Malaysia ialah sekitar 53,000 orang. Ia bukan kelompok kecil.
Mereka adalah nadi pengangkutan negara, penghubung desa dan kota, pengangkut harapan rakyat dari satu sempadan ke sempadan lain.
Mereka bukan sekadar pemandu. Mereka adalah pengawal masa, pengurus keselamatan, penjaga harapan. Dan seperti setiap pekerjaan yang membawa risiko tinggi, mereka berhak mendapat pengiktirafan, perlindungan dan penghormatan sewajarnya.
Saya percaya ada jalan keluar dan ia bukan mustahil.
Sistem pemantauan perlu diwajibkan. Ia bukan sekadar kamera litar tertutup yang bersifat kosmetik, sebaliknya sistem pemantauan kelajuan, masa rehat mencukupi, dan rekod prestasi yang telus dan boleh diaudit.

Kerajaan juga perlu menetapkan piawaian minimum untuk gaji dan rehat bagi pemandu bas ekspres, serta memberi insentif kepada syarikat yang menepati aspek keselamatan dan kebajikan pekerja.
Syarikat-syarikat bas juga perlu mencontohi syarikat minyak dalam hal prosedur operasi standard keselamatan. Latihan berkala, pemeriksaan kesihatan wajib, sokongan psikologi, dan waktu rehat yang dijamin perlu diwujudkan sebagai norma, bukan sekadar cadangan.
Malah, penguatkuasaan perlu dilakukan secara berkala, bukan hanya selepas tragedi berlaku.
Saya berharap satu hari nanti – apabila saya menaiki semula bas dari Kelana Jaya ke Kuala Terengganu – saya dapat bernafas dengan lega, bukan saja kerana destinasi yang dituju, tetapi kerana saya tahu bahawa pemandu yang mengemudi bas itu mendapat cukup tidur, cukup gaji, cukup hormat dan cukup perlindungan.
Saya mahu percaya bahawa negara ini tidak lagi menganggap keselamatan di jalan raya sebagai perkara sampingan, sebaliknya keutamaan yang mesti diberi perhatian.
Dan dalam dingin subuh sewaktu saya turun dari bas, saya ingin tahu bahawa kita sebagai masyarakat tidak hanya menunggu berita kemalangan untuk mula bertindak, tetapi telah lama menjadikan kebajikan pemandu sebagai keutamaan – demi nyawa kita semua.
Kerana betapa jauh pun suatu perjalanan, seharusnya ia tidak menjadi alasan untuk kehilangan. Kerana setiap nyawa yang selamat tiba ke destinasinya adalah kejayaan yang tidak ternilai buat negara ini.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR ialah bekas petugas TV3 dan penulis lebih 20 buah judul buku.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
