Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak perlu tindakan undang-undang isu demo antirasuah Sabah - peguam

Menjenayahkan pembakaran karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menjejaskan protes di negara ini termasuk terhadap pencabulan hak asasi manusia global, termasuk pembunuhan beramai-ramai di Gaza, kata seorang peguam.

Charles Hector Fernandez menyorot insiden serupa dalam sejarah protes Malaysia, termasuk pada 2015 ketika ahli Umno membakar imej pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Dia berhujah bahawa ini mewujudkan pembakaran simbol politik sebagai sebahagian daripada budaya protes negara.

"Menjadikan pembakaran imej Anwar baru-baru ini sebagai jenayah bermakna selepas itu, rakyat Malaysia mungkin kehilangan hak untuk pijak patung/gambar (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu atau mana-mana pemimpin asing yang melanggar hak asasi manusia dan melakukan ketidakadilan," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek mempertahankan penunjuk perasaan pelajar yang menamatkan demonstrasi antirasuah 22 jam dengan membakar karikatur Anwar yang tertera perkataan “Madani pelindung rasuah Sabah.”

Zaid berkata aksir itu adalah protes demokrasi yang sah yang tidak sepatutnya didakwa, mengingatkan pemimpin kerajaan bahawa mereka telah melakukan perkara yang sama semasa zaman aktivis mereka.

Tambahnya, tumpuan kepada perbuatan membakar itu dijadikan alasan yang untuk mengetepikan mesej utama pada perhimpunan itu, bahawa pentadbiran Anwar "sedang menutup sebelah mata" terhadap isu rasuah yang melibatkan sekutu politiknya di Sabah.

Selepas protes itu, polis menahan tiga aktivis pelajar - Fadhil Kasim, Aliff Danial Badrul Akmal Hisham, dan Sabir Syarafuddin - sebagai sebahagian daripada siasatan di bawah Akta Hasutan.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan pada malam Selasa dengan jaminan polis.

Pengarah eksekutif Center for Independent Journalism (CIJ), Wathshlah Naidu juga bersetuju bahawa membakar imej Anwar adalah mesej politik simbolik yang kuat yang terletak dalam batas yang dibenarkan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Wathshlah percaya penunjuk perasaan tidak mengancam keselamatan Anwar atau keselamatan negara kerana pembakaran itu tidak digandingkan dengan ucapan yang menimbulkan kebencian atau keganasan terhadap pemimpin kerajaan.

"Adakah terdapat hasutan sebenar untuk meneruskan keganasan terhadap perdana menteri? Adakah itu gesaan untuk pergi menyerangnya secara peribadi, gesaan untuk membunuhnya, dan gesaan untuk menyerang dan memusnahkan harta benda?

"Saya fikir kita tidak nampak perkara itu. Walaupun saya tidak berada di sana, tidak semestinya ucapannya ada gesaan seumpamanya.

"Jadi ia kekal dalam ombud tindakan simbolik, kerana anda cuba menyampaikan mesej politik yang sangat kritikal terhadap individu ini, dan cara anda berkomunikasi atau menyatakannya adalah dengan membakar imej orang itu," katanya.

Wathshlah seterusnya menegaskan bahawa menunjukkan kemarahan atau kritikan bukanlah alasan untuk sekatan.

Oleh itu, katanya, tiada sebab untuk mendakwa mahasiswa terbabit.

Begitu juga, peguam Kokila Vaani Vadiveloo tidak bersetuju dengan tindakan keras dan hukuman terhadap pelajar, dengan menyebut umur dan kurang pengalaman mereka sebagai faktor.

"Tindak balas yang wajar, seperti amaran, kaunseling atau tindakan pentadbiran, mungkin lebih sesuai daripada pendakwaan jenayah yang serius melainkan terdapat bukti jelas bahawa tindakan mereka membahayakan ketenteraman awam atau mencetuskan keganasan," katanya.

Tuduhan jenayah hanya sesuai jika tindakan pelajar itu berbahaya, tambahnya.

Pemimpin kerajaan setakat ini mengecam aksi mahasiswa berkenaan, dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggelar penunjuk perasaan bodoh dan biadap sambil mencabar aktivis pelajar untuk berjumpa.

Begitu juga, Ketua Pemuda PKR Kamil Abdul Munim menyelar mahasiswa dengan berkata ia bukan sahaja keterlaluan dan biadab, malah menunjukkan penunjuk perasaan tidak mempunyai hujah yang bernas.

Kokila berkata bahawa tindak balas itu boleh mengakibatkan ketakutan yang berlebihan di kalangan orang ramai yang menurutnya hanya akan mengalihkan lagi daripada isu sebenar.

“Adalah wajar bagi pemimpin dan orang ramai menyatakan ketidaksetujuan terhadap tindakan tidak hormat itu, kerana ia memperkukuh kepentingan menjaga kesopanan dalam wacana politik.

“Bagaimanapun, tumpuan tidak seharusnya beralih sepenuhnya kepada cara membantah sambil mengabaikan isu substantif yang cuba dibangkitkan oleh mahasiswa,” katanya.

Demonstasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 baru-baru ini adalah sebahagian daripada siri perhimpunan menentang rasuah yang dianjurkan oleh kumpulan aktivis Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah.

Ia adalah tindak balas kepada pendedahan pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah lesen cari gali mineral di Sabah, yang didakwa melibatkan beberapa Adun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS