Seorang bekas timbalan menteri undang-undang hari ini menggesa supaya siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan terhadap seorang hakim kanan, yang baru-baru ini terlibat dalam beberapa siri dakwaan termasuk campur tangan kehakiman.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin berkata, sebarang dakwaan yang mempunyai asas terhadap mana-mana hakim perlu disiasat secara menyeluruh dan adil.
"Sebagai ahli parlimen dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), saya ingin menegaskan bahawa prinsip rule of law dan kebebasan badan kehakiman perlu sentiasa dipertahankan dan dilindungi daripada sebarang pengaruh atau campur tangan yang mencemari keadilan.
"Sekiranya terdapat sebarang dakwaan yang berasas terhadap mana-mana hakim, ia hendaklah disiasat secara menyeluruh, bebas, dan adil menurut proses undang-undang yang sewajarnya.
"Mana-mana individu tidak boleh dianggap bersalah tanpa proses perundangan yang sah," katanya dalam satu kenyataan.
Dia turut menyeru semua pihak memberi ruang kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) menjalankan peranannya dalam memilih dan mencadangkan pelantikan hakim.
Mas Ermieyati berkata kerajaan dan semua pihak berkepentingan juga mesti menghormati doktrin pengasingan kuasa dan peranan JAC untuk mencadangkan Ketua Hakim Negara yang akan datang.
"Rakyat berhak mendapat sistem kehakiman yang bebas, bersih dan telus.
"Hanya dengan itu kita dapat memastikan keadilan ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya.
Pada Selasa, Malaysiakini melaporkan bahawa laporan polis yang dibuat bagi pihak hakim kanan, susulan pertanyaan portal berita itu, telah dibocorkan dan tersebar di kalangan pengamal undang-undang.
Laporan polis itu dibuat selepas Malaysiakini menghubungi hakim itu pada 12 Jun bagi mendapatkan ulasan mengenai dakwaan tertentu terhadap hakim itu, termasuk campur tangan kehakiman yang dikatakan, yang dibuat semasa mesyuarat JAC.
Susulan itu, Majlis Peguam berkata ia akan berusaha mendapatkan minit mesyuarat JAC untuk memastikan kebenaran.
