Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anda mahu saya jadi diktator untuk arahkan hakim?'
Diterbitkan:  Jun 26, 2025 8:47 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas pihak yang seolah-olah meminta dia campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh badan kehakiman, terutamanya apabila individu berprofil tinggi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah.

“Contohnya seorang pemimpin diberikan ‘dilepas tanpa dibebaskan (DNAA)’, Perdana Menteri kena marah oleh satu kumpulan. Minggu depan seorang lagi dapat DNAA, Perdana Menteri juga kena marah.

“Tetapi kumpulan ini bercakap tentang kebebasan kehakiman, jadi ada percanggahan di situ. Apa yang anda mahukan? Anda mahu saya menjadi diktator dengan mengarahkan hakim membuat penghakiman berdasarkan pandangan peribadi anda?

“Memang ada sesetengah keputusan saya tidak bersetuju. Tetapi itulah kebebasan kehakiman. Eksekutif ada kuasanya, tetapi ia juga ada batasan tertentu berdasarkan pengasingan kuasa,” lapor Astro Awani yang memetik kenyataan perdana menteri itu hari ini.

Anwar berkata demikian sewaktu berucap menutup Asean Symposium 2025 bertemakan ‘Anchoring ASEAN’s Future in Shared Wisdom: Empowering Communities for an Inclusive and Sustainable Civilisation’ di ibu negara.

Untuk rekod, di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, peguam negara mempunyai kuasa untuk memulakan, mengendalikan atau memberhentikan prosiding jenayah.

Sekiranya peguam negara memutuskan untuk memberhentikan sesuatu kes, walaupun ia sudah berada dalam perbicaraan, mahkamah tiada pilihan selain menghentikan prosiding tersebut.

Pada masa ini, Jabatan Peguam Negara berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pada 20 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Hakim K Muniandy membuat keputusan itu kerana kes terhadap Najib telah tergantung sejak 2019 tanpa seorang pun saksi dipanggil.

Sebaliknya, kes tersebut sering ditangguhkan, menunjukkan pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan.

Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa pihaknya “tiada pilihan” selain menunggu perbicaraan 1MDB dan kes SRC International pertama selesai sebelum boleh menggunakan dokumen bertindih yang diperlukan dalam kes kedua membabitkan SRC.

Pada September 2023, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi turut dilepas tanpa dibebaskan dalam kes rasuah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat walaupun perbicaraan sudah memasuki peringkat pembelaan, selepas pihak pendakwaan meminta lebih masa untuk melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Anwar juga menyatakan kehairanan mengenai sikap segelintir golongan elit dan berpendidikan tinggi yang sering melaungkan keperluan untuk reformasi segera, tetapi pada masa sama tidak berpendirian tetap tentang keperluan memerangi rasuah.

“Saya juga melihat ketidakseragaman (inconsistencies) apabila menyentuh soal antirasuah, yang mereka ini hanya tujukan kepada seorang pemimpin sahaja, tetapi bukan yang terdahulu yang menyeleweng sehingga berbilion ringgit.

“Hipokrit untuk bercakap tentang korupsi, dan hanya tujukan kepada seorang sahaja bekas Perdana Menteri sebagai contoh... tetapi mengabaikan fakta bahawa berbilion lagi telah diseleweng. Dan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan, tidak ada sepatah kata pun keluar. Apa dah jadi dengan sistem kita?” soalnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS