PN Melaka berpendapat seluruh rakyat Malaysia patut berasa bangga dengan pencapaian Komandan Maktab Ketahanan Nasional, Johnny Lim Eng Seng, yang menjadi pegawai tentera bukan Melayu pertama dikurniakan pangkat leftenan jeneral oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Penerangan PN Melaka, Bakri Jamaluddin, berkata pengiktirafan ke atas Lim itu memang suatu catatan sejarah penting dan memperlihatkan penglibatan anak Melaka dan kaum Tionghua dalam dunia ketenteraan, khususnya dalam memegang salah satu jawatan tertinggi dalam ATM.
“Ia turut membuktikan semangat kepahlawanan, patriotisme dan daya juang tinggi yang dimiliki anak Melaka dalam usaha mempertahankan kedaulatan tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia menyusul selepas seorang bekas pemimpin kanan PAS – yang kini mengetuai parti itu di peringkat akar umbi – ditafsirkan sebagai bermain sentimen perkauman dalam salah satu hantaran media sosialnya.
Menegaskan gambar yang dimuat naik itu sekadar hiasan, Zaharuddin Muhammad mendakwa dia tidak menghina pangkat yang dikurniakan kepada Lim, sebaliknya mempersoalkan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditawarkan kerajaan.
"Poin utama tulisan saya ialah untuk menyedarkan masyarakat bahaya MM2H di mana hari ini pembeli akan beli dan mendiami rumah tersebut.
"Apabila berlaku kelahiran, maka tidak mustahil mereka akan minta kerakyatan dan selepas 20 tahun mereka akan minta hak mengundi.
“Jika bangsa asing ini masuk secara terancang, sebagaimana Zionis di Palestin, maka tidak mustahil pada tahun 2058, PM Malaysia adalah daripada kalangan anak kelahiran bangsa asing ini. Ini poin utama saya," dakwanya.

Kenyataan Zaharuddin itu dibuat selepas PAS secara rasmi dilihat menjarakkan diri daripada hantaran tersebut.
Lim merupakan anak kelahiran Melaka dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St Francis, dari 1973 hingga 1978 sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Menengah St Francis (1979 hingga 1983).
Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka dan Ahli Parlimen Tangga Batu berkata dia yakin seluruh rakyat Melaka – tanpa mengira bangsa atau fahaman politik – turut berkongsi rasa bangga dan gembira atas kejayaan Lim.
“Saya juga berharap agar lebih ramai lagi anak Melaka, tanpa mengira latar belakang, dapat menyandang jawatan-jawatan penting dalam ATM pada masa hadapan,” katanya.
