Malaysia adalah sebuah negara Islam berdasarkan kedudukan Islam adalah agama bagi negara. Sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3(1), "Islam adalah agama bagi Persekutuan", secara jelas menunjukkan teras (ideologi) kenegaraan bagi Malaysia adalah Islam.
Apabila teras kenegaraannya adalah Islam, maka Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara Islam. Tinggal lagi, pelaksanaan sistem pemerintahan bagi melengkapi Malaysia sebagai sebuah negara Islam, perlu disempurnakan dari semasa ke semasa.
Pasti ramai yang bertanya, jika demikian hakikatnya, mengapa dahulu PAS tidak mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam? Sebelum 1990-an, semua maklum tafsiran Perkara 3(1) ini sama ada oleh pemimpin negara di Parlimen atau oleh hakim di mahkamah menyebut Islam hanyalah agama upacara atau agama rasmi (ceremonial religion).
Bagaimanapun, setelah Perdana Menteri Keempat, Dr Mahathir Mohamad, mengisytiharkan Malaysia sebenarnya sebuah negara Islam, tafsiran Perkara 3(1) itu kembali kepada maksudnya yang sebenar.
Meskipun Dr Mahathir mengisytiharkan perkara itu di luar Parlimen, Perdana Menteri selepas beliau pernah mengisytiharkan perkara yang sama di Parlimen. Beberapa penghakiman di mahkamah selepas itu juga mendukung tafsiran Perkara 3(1) bermaksud Islam adalah agama bagi negara bukannya Islam agama upacara. Ekoran daripada itu, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pernah mencadangkan supaya tafsiran ini dipertegaskan dengan memasukkan klausa baru di dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk menjelaskan Islam itu bermaksud al-din.
Bilamana Malaysia adalah sebuah negara Islam, bermakna kita semua perlu menggali khazanah turath dan perkembangan fiqh semasa untuk melengkapkan makna Malaysia sebuah negara Islam itu. Sudah pasti perjuangan ini akan digalas oleh PAS, sebagai satu-satunya parti politik yang berjuang untuk mendirikan sebuah negara Islam. Jika dahulu PAS berjuang untuk menghapuskan tafsiran sekular terhadap Perkara 3(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan, setelah tafsiran itu berjaya dilenyapkan, perjuangan PAS beranjak mara setapak lagi.

Kali ini PAS menggalas satu lagi tanggungjawab besar melengkapkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam erti kata yang sebenar. Salah satu yang PAS tidak terlepas pandang, malah pernah ditegaskan oleh Presiden PAS sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia mesti dari kalangan orang Islam. Perkara ini pasti memanaskan telinga DAP, kerana DAP pernah menegaskan suatu hari nanti Malaysia boleh sahaja menerima Perdana Menteri bukan Islam. Yang terbaru tahun 2023, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, pernah menyebut bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.
Kelmarin, seorang pemimpin PAS peringkat kawasan di Selangor telah membangkitkan perkara yang sama, mungkinkan nanti Malaysia boleh berperdanamenterikan seorang bukan Islam? Dari segi Perlembagaan Persekutuan tiada yang menghalang suatu hari nanti bukan Islam boleh menjadi Perdana Menteri. Akan tetapi dari segi ketetapan hukum-hukum pemerintahan Islam, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Jika demikian, PAS perlu memperjuangkan agar satu pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat, menetapkan hanya orang Islam yang boleh menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, ada sedikit kontroversi timbul apabila pemimpin PAS tersebut turut mengepilkan gambar hiasan pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai kaum Cina pertama menjawat jawatan Leftenen Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kontroversi ini sebenarnya dicipta oleh pemimpin-pemimpin DAP dengan tidak menyentuhpun isu sebenar yang ditimbulkan, iaitu Perdana Menteri dari kalangan bukan Islam. Sebaliknya DAP memainkan sensitiviti tentang pelantikan Leftenan Jeneral tersebut dengan menyebut PAS memperlekehkannya.
Saya sendiri ingin mengucapkan tahniah kepada Leftenan Jeneral Johnny Lim atas pelantikan beliau baru-baru ini. Bagaimanapun, disebabkan DAP telah menimbulkan kontroversi berkaitan pelantikan di dalam ATM tersebut, saya ingin bertanya DAP, adakah DAP juga mengharapkan seorang bukan Islam boleh menjadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) suatu hari nanti?
Sekiranya DAP pernah menyuarakan kaum bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri, saya yakin dengan nada yang sama DAP berpendirian bukan Islam juga boleh menjadi PAT. Kita tunggu jawapan DAP.

Saya tidak mahu mendahului pihak berkuasa agama khususnya para mufti yang bertanggungjawab terhadap Ketua-ketua Agama Islam di negeri masing-masing. Tetapi yang jelas, diyakini di dalam hukum-hukum pemerintahan Islam ada ketetapan tertentu tentang siapakah yang boleh menjadi Perdana Menteri, siapakah yang boleh menjadi Ketua Hakim, dan termasuklah siapakah yang boleh menjadi PAT.
Ketetapan syarak tersebut boleh diselarikan dengan Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya ada ketidakselarian, maka wajarlah dicadangkan ada pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara Islam. PAS akan terus berjuang untuk menegakkan dan menyempurnakan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, dengan menerapkan ketetapan hukum-hukum pemerintahan Islam di dalam negara Malaysia dari semasa ke semasa sedaya yang PAS mampu.
Pada masa yang sama, DAP adalah antara penghalang utama kepada usaha-usaha PAS, kerana jelas di dalam perjuangan DAP untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Sekular. Oleh kerana itu, bila DAP seperti cacing kepanasan dengan isu ini, tidaklah ia menghairankan.
MOHD ZUHDI MARZUKI ialah ahli jawatankuasa PAS pusat.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
