Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mkini raih anugerah di Sopa bagi laporan hak asasi, alam sekitar
Diterbitkan:  Jun 27, 2025 12:52 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Selepas kejayaan dalam Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024, Malaysiakini sekali lagi menempa kejayaan melalui Anugerah Persatuan Penerbit-penerbit Asia (Sopa) 2025 untuk kecemerlangan dalam melaporkan isu hak asasi manusia.

Anugerah itu dinobatkan kepada S Vinothaa, Azneal Ishak, Khoo Shiyuan, Aidila Razak, Ooi Choon Nam dan Amin Landak atas sumbangan mereka kepada laporan terperinci bertajuk "Heavy Metals Found In Kelantan Orang Asli Blood, Community Fear Poisoned By Mining" (Maut di sungai merah’- Orang Asli risau anak-anak keracunan).

Ia memaparkan kisah Orang Asli suku Temiar di Gua Musang, Kelantan, yang terjejas akibat pencemaran air berpunca daripada aktiviti perlombongan.

Laporan oleh Kini News Lab, unit Malaysiakini yang mengkhusus dalam kewartawanan data dan penceritaan inovatif, adalah sebahagian daripada siri laporan berhubung nasib masyarakat Temiar di Gua Musang selepas sumber air utama mereka bertukar merah akibat aktiviti perlombongan yang dikaitkan dengan pencemaran kromium.

Semasa menyampaikan anugerah, para hakim memuji "kuasa laporan" dengan ujian saintifik dan data yang mengukuhkan kes melangkaui laporan peribadi.

Para hakim juga memuji teknik multimedia dan visualisasi data yang mengagumkan yang membantu menjelaskan dan menguatkan perkataan bertulis, menekankan bahawa ketabahan, komitmen dan keberanian para wartawan telah membantu dalam meningkatkan kualiti laporan.

Siri tiga bahagian yang dihasilkan dengan sokongan daripada Pusat Pulitzer itu juga sebelum ini dianugerahkan anugerah emas pada Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024.

Satu lagi laporan Malaysiakini yang memperoleh anugerah MPI juga muncul sebagai finalis Anugerah Sopa untuk kecemerlangan dalam melaporkan alam sekitar.

Laporan Kini News Lab bertajuk “Ada balak di balik sawit" menonjolkan bagaimana aktiviti pembalakan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang telah mengganggu bekalan air di kampung berhampiran Hulu Tembeling, Pahang.

Sementara itu, Malaysiakini turut memenangi Anugerah Sopa untuk kecemerlangan dalam pelaporan video menerusi dokumentarinya - diterbitkan bersama kolektif penyiasatan The Fourth Alliance - mengenai "rampasan bayi" yang menjejaskan keluarga tanpa kerakyatan di Sabah.

Dokumentari itu berdasarkan pendedahan Malaysiakini mengenai isu itu pada 2023, yang diiktiraf dengan Anugerah Sopa tahun lepas serta Anugerah Kajai.

Laporan Malaysiakini berkenaan skandal rasuah Sabah yang membabitkan beberapa Adun turut mendapat penghormatan untuk Anugerah Sopa’s Scoop, yang diraih RK Anand, Ng Ling Fong, Hariz Mohd dan Alyaa Alhadjri.

Para hakim berkata penyertaan itu menonjol kerana mendedahkan dakwaan rasuah oleh pemimpin negeri melalui sejumlah video yang dirakam secara rahsia yang disediakan oleh pemberi maklumat, menunjukkan bahawa laporan itu telah menghasilkan "reaksi meluas" - termasuk siasatan oleh SPRM.

Skandal itu tertumpu pada siri video, dokumen dan tangkapan layar pesanan mesej yang melibatkan ahli politik dalam perbincangan tentang rasuah sebagai pertukaran untuk menyokong permohonan ahli perniagaan bagi mendapatkan lesen perlombongan.

Walaupun berulang kali meminta perlindungan, ahli perniagaan yang bertukar sebagai pemberi maklumat, yang hanya dikenali sebagai "Albert", dijangka akan didakwa di mahkamah minggu depan, bersama dua Adun.

Sopa diasaskan di Hong Kong pada tahun 1982 untuk menggalakkan amalan terbaik dalam industri penerbitan, menetapkan tahap yang tinggi untuk standard kewartawanan, dan menjadi suara untuk kebebasan akhbar dan hak wartawan di Asia Pasifik.

Anugerah Sopa tahunan untuk Kecemerlangan Editorial telah ditubuhkan pada tahun 1999 untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada kewartawanan yang cemerlang.

Anugerah tahunan ini sangat diidamkan dan telah menjadi sorotan dalam kalendar media serantau. Ia telah dianggap secara meluas sebagai "Anugerah Pulitzer Asia".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS