Naib Presiden Muda, Dobby Chew mencadangkan sebuah badan bebas ditubuhkan untuk mengawal selia penerbitan bahan bercetak, dan bukan diletakkan di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Chew menyifatkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sebagai “barah kepada demokrasi” yang wajar dimansuhkan, susulan tindakan KDN merampas dua buku terbitan Fixi semalam atas alasan untuk “semakan”.
“Walaupun terdapat keperluan untuk pelesenan dan mekanisme kawalan tertentu, ia tidak sepatutnya berada di bawah kuasa kerajaan, sebaliknya diuruskan oleh suruhanjaya bebas atau badan pemantau yang terdiri daripada pemain industri, masyarakat sivil dan pakar-pakar lain.
“Kewujudan berterusan PPPA (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan) adalah satu penghinaan kepada hak perlembagaan yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, dan memperlekehkan demokrasi negara,” kata Chew dalam satu kenyataan hari ini.
Fixi semalam mendakwa sekumpulan pegawai KDN datang ke kedai buku syarikat itu di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur dan merampas dua buah buku tulisan Ismi Fa Ismail bertajuk “Jelik” dan “Jelik: 2”, dengan alasan untuk menyemak kandungannya.
Menurut Fixi, ini bukan kali pertama pegawai KDN datang ke kedai buku untuk melakukan rampasan sedemikian.
Chew mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Dia berkata kumpulan hak asasi manusia seperti Suaram telah lama memantau tindakan KDN mengharamkan pelbagai penerbitan, dan menyifatkan tindakan kementerian berkenaan sebagai tidak masuk akal.
“Setakat yang saya tahu, senarai itu termasuk novel cinta yang menggoda, komik Jepun, komik politik tempatan, buku agama, buku falsafah, jam tangan berwarna-warni dan muzik death metal.
“Sesetengah penerbitan itu sememangnya mengarut dan tidak berbaloi dicetak, tetapi sebahagian besar daripadanya hanyalah bahan bacaan yang dianggap menjengkelkan atau tidak menyenangkan oleh kementerian – atau lebih tepat lagi, oleh seorang penjawat awam dalam kementerian.
“Hanya kerana individu tertentu di KDN tidak menghargai muzik death metal Malaysia atau merasakan Fifty Shades of Grey terlalu lucah mengikut citarasanya, itu bukan alasan untuk kerajaan membazirkan masa dan sumber untuk mengharamkannya di bawah PPPA,” kata Chew yang juga bekas penyelaras dokumentasi dan pemantauan Suaram.
