DAP membidas PAS selepas mendakwa parti kerajaan itu mencetuskan sentimen perkauman berikutan pelantikan seorang pegawai bukan Melayu sebagai leftenan jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan, menyifatkan PAS sebagai tidak menghargai sumbangan masyarakat bukan Melayu kepada negara, sambil membidas kenyataan ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Zuhdi Marzuki, yang dipetik mempertikai pelantikan tersebut semalam.
Kontroversi itu tercetus susulan kenyataan Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad, yang dilihat memperlekeh pelantikan Johny Lim sebagai leftenan jeneral pertama dari kaum Cina.
Dalam perkembangan sama, Zuhdi turut mempersoalkan sama ada DAP mahu melihat seorang bukan Islam mengetuai angkatan tentera pada masa depan.
Sebagai respon, Syahredzan menyifatkan kenyataan Zuhdi sebagai “tidak berasas” dan satu cubaan untuk menutup kesilapan Zaharuddin, yang juga merupakan menantu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
"Isu pokok kontroversi ini adalah tindakan seorang pemimpan PAS membawa polemik kaum dalam penghormatan yang diberikan kepada seorang leftenan jeneral ATM berbangsa Cina.
"Apabila Zuhdi memperkecilkan ‘dosa’ Zaharudin, tindakan ini telah mendedahkan wajah sebenar PAS iaitu mereka tidak menghargai jasa dan pengorbanan bukan Melayu dalam negara ini," kata Syahredzan dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Bangi itu turut mengingatkan bahawa bukan Melayu juga telah menumpahkan darah, keringat dan air mata demi tanah air, bersama-sama dengan orang Melayu.
"Kedudukan dan hak orang bukan Melayu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, dan PAS tidak berhak mempertikaikan perkara ini.
"Sudah-sudahlah membawa politik perpecahan dan kebencian. Tinggalkan politik lapuk seperti ini, terimalah hakikat Malaysia tanah air kita bersama," tegas Syahredzan.

Sebelum ini, dalam satu hantaran di Facebook, Zaharuddin membangkitkan senario hipotesis kononnya seorang individu Cina dari Kampung Sungai Baru — yang kini merupakan perkampungan Melayu — akan dilantik sebagai perdana menteri menjelang tahun 2058.
Dia turut memuat naik tangkap layar artikel berkaitan pelantikan Johny Lim, namun kemudian mendakwa imej itu sekadar bersifat “hiasan”.
Hantaran itu menerima kecaman hebat termasuk daripada pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Steven Sim, menyebabkan Zaharuddin memadam hantaran asal tersebut. Namun, dia kemudian memuat naik semula kenyataan itu, mendakwa tindakannya memadam hantaran itu hanya bertujuan “menghapuskan tentera siber” yang dikatakan memutarbelit kenyataannya.
Dia juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Steven Sim, yang juga Menteri Sumber Manusia, serta sebuah laman berita atas dakwaan memutarbelit kenyataannya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, cuba menjauhkan parti itu daripada kenyataan Zaharuddin, dengan menyatakan bahawa tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar disiplin parti.
Beberapa laporan polis turut dibuat terhadap Zaharuddin, termasuk oleh Ketua Pemuda PKR Klang, Shahrul Adnan, yang menggesa pihak berkuasa menyiasatnya atas dakwaan menghasut.
