Hannah Thomas, anak kepada bekas peguam negara Tommy Thomas, dimasukkan ke hospital selepas mengalami kecederaan ketika ditahan oleh pihak berkuasa, menurut laporan media Australia.
Hannah merupakan salah seorang daripada lima penunjuk perasaan yang ditahan dalam demonstrasi pro-Palestin di hadapan premis SEC Plating di Belmore, barat daya Sydney, pagi tadi.
Syarikat tersebut didakwa membekalkan komponen kepada jet pejuang yang digunakan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Laporan ABC News memetik kenyataan Polis New South Wales yang memaklumkan—tanpa menamakannya—bahawa seorang wanita mengalami kecederaan di bahagian muka dan telah dibawa ke Hospital Bankstown untuk rawatan lanjut.
Rakaman video yang disiarkan menunjukkan berlakunya pergelutan antara beberapa penunjuk perasaan dan pihak polis.
“Salah seorang wanita yang memakai kot hitam dilihat dipisahkan daripada kumpulan dan terjatuh bersama seorang pegawai polis.
“Polis kemudian kedengaran mengarahkan ‘bangun sekarang’, dan wanita itu membalas: ‘Saya sedang cuba’,” menurut laporan itu.
Satu gambar selepas kejadian menunjukkan Hannah Thomas berdiri di sebelah seorang pegawai polis dengan mata yang kelihatan bengkak.
Beberapa saksi mendakwa dia mengalami kecederaan di sekitar mata kanan dan dijadualkan menjalani pembedahan hari ini.
“Difahamkan pasukan perubatan sedang menyiasat sama ada kecederaannya boleh menjejaskan penglihatan serta kemungkinan terdapat tulang muka yang patah,” lapor ABC News.
Pihak polis memaklumkan insiden itu tidak diklasifikasikan sebagai “insiden kritikal”, namun ia akan direkod dan disemak semula mengikut prosedur standard dalam kes penggunaan kekerasan.
Tiada pertuduhan dikenakan terhadap Hannah, namun empat lagi penunjuk perasaan lain didakwa atas pelbagai kesalahan.
Hannah berhijrah ke Australia pada tahun 2009 dan kemudiannya memperoleh kewarganegaraan Australia.
Pada Mei lalu, dia bertanding dalam pilihan raya persekutuan Australia dalam persaingan enam penjuru bagi kerusi Grayndler, menentang penyandangnya yang juga Perdana Menteri, Anthony Albanese, sebagai calon Parti Hijau Australia.
Meskipun tewas, Hannah memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak kesal dan akan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin.
