Muhyiddin Yassin menegaskan pendiriannya mengenai "Malay first" yang menjadi pegangan Pengerusi PN terbabit sebelum ini tidak pernah berubah.
Sebaliknya, kenyataan mengenai Malaysian first sebelum ini, kata Muhyiddin, lebih kepada penjelasan mengenai pendirian asal.
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata, dalam menegaskan Malay first dia tidak pernah menyebut Malaysia second.
"Dulu kenyataan awal Malay first, tapi saya tak kata Malaysia second. Yang baru dalam satu majlis saya menjelaskan... makanya apa? Bukan saya berubah sikap saya.
"Awak lahir sebagai orang Melayu, bukankah Malay first? Itu bukan soal pokok.
“Soalnya apakah yang kita lakukan sebagai pemimpin Malaysia," katanya dalam siaran audio siar Ramai Yang Sindir bersama Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz; dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin.
Pada 4 Mei lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan dia kini pemimpin yang mengambil berat terhadap semua rakyat Malaysia dan pandangan lamanya mengenai keutamaan identiti Melayu sudah tidak relevan lagi dalam konteks semasa.
Berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin dalam Festival Perpaduan India di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam, bekas perdana menteri itu menyatakan komitmen gabungan PN adalah untuk berlaku adil kepada semua kaum.
"Saya adalah orang Melayu Malaysia. Tapi, pemikiran saya tak pernah berfikir saya sebagai Melayu sahaja. Saya perlu mengambil kira orang Cina, India dan lain-lain. Sebab saya adalah pemimpin Malaysia.
"Saya pernah kata saya Melayu terlebih dahulu. Itu tak penting lagi, saya seorang Melayu prihatin dengan semua rakyat Malaysia," katanya melalui program anjuran Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang juga komponen PN.
Dalam siaran audio siar itu juga Muhyiddin turut mengkritik dasar-dasar kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwanya menekan rakyat, khususnya merujuk kepada peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta tarif baru bil elektrik yang akan bermula 1 Julai ini.
Muhyiddin berkata jika PN kembali menjadi kerajaan, gabungan itu akan melaksanakan semula sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dianggapnya tidak membebankan rakyat.
"(Kalau saya perdana menteri) jawapan mudah saya tak buat apa yang Anwar Ibrahim buat...saya tak akan lakukan, bukan pasal dia buat, tapi dia buat tak betul.
"SST sebagai contoh... kalau saya jadi perdana menteri (balik) – manalah tahu – saya tak akan buat (peluasan cukai dan kenaikan tarif elektrik).
"Soal SST nak tukar kepada GST secara dasarnya setuju, 170 negara tukar kepada GST yang lebih efisien...kurang membebankan (rakyat)," katanya lagi.
