Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di ibu negara hari ini bertukar kecoh apabila seorang peserta menyalakan suar berwarna merah.
Perhimpunan yang disertai kira-kira 100 orang itu bermula jam 2.30 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Insiden berlaku sekitar jam 4.30 petang ketika program hampir tamat, apabila seorang peserta menyalakan suar sebaik sahaja seorang aktivis mahasiswa, Ahsanul Akmal Muhamad Sulam selesai berucap.
Aksi itu menyebabkan seorang anggota polis cuba campur tangan dengan merampas suar berkenaan, namun berlaku kekecohan apabila Ahsanul mendakwa dia dikasari.
Anggota polis terbabit kemudian meloloskan diri di tengah-tengah kekecohan tersebut.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan kumpulan mahasiswa yang kemudian menuntut nama serta nombor badan anggota polis berkenaan, bagi membolehkan laporan polis dibuat.
Difahamkan, anggota polis terlibat dikenali sebagai Zulfekar daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Ketika ditemui, Ahsanul yang merupakan aktivis dari Organisasi Liga Mahasiswa Malaysia UM mendakwa anggota polis terbabit memang turut mengasarinya.

"Bakar suar adalah gimik yang saya buat dan akan disusuli dengan penyerahan batu nisan dengan tulisan ‘Reformati 1998-2025’.
“Tapi tiba-tiba salah seorang anggota polis cuba merangkul leher saya sebelum rentap sehingga koyak baju saya,” katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas dakwaan provokasi yang dilakukan anggota polis terbabit, jurucakap penganjur, Brendon Gan, 24, berkata satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat.
Menurutnya, mereka berkumpul secara aman dan notis juga telah diberikan kepada pihak polis, namun insiden tersebut amat mengecewakan pihaknya.
Terdahulu, perhimpunan anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah itu diadakan bagi mendesak kerajaan mempercepat pelaksanaan reformasi institusi dalam usaha memerangi rasuah.
Penganjuran acara itu berikutan himpunan pertama pada 25 Januari lalu serta penyerahan memorandum kepada kerajaan pada Februari lalu tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa.
