Pendedahan terbaru melibatkan enam lagi ahli politik kanan daripada gabungan kerajaan negeri Sabah didakwa terlibat dalam skandal lesen cari gali mineral mengejutkan Umno Sabah.
Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah Datu Rosman Datu Ahir Zaman menyifatkan skandal itu - kini menyelubungi 15 pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS), termasuk speaker DUN Kadzim Yahya - sebagai "kegilaan".
"Institusi kerajaan negeri Sabah sedang dilanda penyakit 'kanser' yang semakin hari semakin membengkak,” tambahnya.
Dengan nama terkini yang dikaitkan, Datu Rosman berkata tiga timbalan Ketua Menteri Hajiji Noor dituduh menerima rasuah - Presiden Star Jeffrey Kitingan, pemangku presiden PBS Dr Joachim Gunsalam, dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Shahelmey Yahya.
"Saya percaya, rakyat mahu melihat Sabah yang lebih baik berbanding dengan apa yang ada berbanding hari ini. Namun, realiti yang berlaku kontradik dengan harapan rakyat.
"Golongan elit yang berkuasa sedang menggila!" tegasnya dalam satu kenyataan.
Ketua Umno Sabah Bung Mokhtar sendiri terpalit dengan kes rasuah bersama isterinya berhubung Felcra.
Semalam, Malaysiakini melaporkan telah mendapatkan nama enam lagi ahli politik yang dikatakan terlibat dalam skandal lesen cari gali mineral.
Satu sumber telah memberikan Malaysiakini tangkapan skrin yang dikatakan diambil daripada rakaman video yang melibatkan pemimpin terbabit. Malaysiakini juga ditunjukkan petikan ringkas rakaman itu tetapi tidak dibenarkan untuk menyiarkannya semula.
Selain Jeffrey dan Joachim, empat lagi ialah Timbalan Presiden Star Ellron Alfred Angin dan Robert Tawik, bekas presiden PBS Maximus Ongkili, dan timbalan presiden Jahid Jahim.
Sebagai tambahan kepada bukti video, sumber itu mendakwa bahawa mesej WhatsApp dan dokumen lain wujud untuk menyokong transaksi tersebut.
Shahelmy terlibat dalam rakaman video yang dikeluarkan secara berperingkat sejak November lalu oleh pemberi maklumat yang mendakwa Adun itu menerima rasuah sebagai pertukaran untuk lesen cari gali mineral.
Wakil rakyat yang lain ialah menteri kewangan negeri Masidi Manjun, menteri sains, teknologi dan inovasi negeri Arifin Arif, yang juga menantu Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman, pembantu menteri pembangunan perindustrian dan keusahawanan negeri Andi Suryandy, Adun Sindumin dan pengerusi Qhazanah Sabah Bhd Yusof Yacob, Adun Kemabong dan pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah Rubin Balang, Adun Tempasuk Arsad Bistari dan Adun Kuamut Masiung Banah.
Dua daripada Adun dijangka didakwa pada Isnin. Pemberi maklumat, dikenali sebagai Albert, turut dijangka didakwa pada hari sama.
