Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Tak perlu berhelah, laksana Akta Pendanaan Politik segera
Diterbitkan:  Jun 29, 2025 12:01 PM
Dikemaskini: 4:01 AM

Susulan pendedahan enam lagi nama ahli politik Sabah yang dikaitkan dengan skandal rasuah berkaitan lesen cari gali mineral, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan kegagalan kerajaan dalam melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) pendanaan politik.

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz juga mempertikaikan keikhlasan kepimpinan pentadbiran Madani dalam merealisasikan undang-undang yang telah lama dijanjikan itu.

“Kejutan demi kejutan tentang isu rasuah dan salah laku hanya bergema di kalangan rakyat marhaen. Tapi mereka di atas masih selesa seperti ‘business as usual’,” katanya dalam satu hantaran di X.

Muhammad Faisal berkata demikian mengulas pendedahan terbaru Malaysiakini berhubung dakwaan rasuah membabitkan kepimpinan kerajaan negeri Sabah.

Malaysiakini semalam mendapatkan nama enam lagi ahli politik yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah lesen cari gali mineral daripada pemberi maklumat.

Mereka yang terlibat termasuk pemimpin tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – yang kedua-duanya merupakan komponen utama kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Antaranya ialah Presiden Star Jeffrey Kitingan, dua timbalannya Ellron Alfred Angin serta Robert Tawik, pemangku Presiden PBS Dr Joachim Gunsalam, pendahulunya Dr Maximus Ongkili, dan timbalan presiden parti itu, Jahid Jahim.

Satu sumber telah memberikan Malaysiakini tangkapan skrin yang didakwa diambil daripada rakaman video yang melibatkan pemimpin terbabit.

Malaysiakini turut ditunjukkan petikan ringkas rakaman itu tetapi tidak diberi kebenaran untuk menyiarkannya semula.

Mengulas lanjut pelaksanaan RUU Pendanaan Politik, Muhammad Faisal berkata perbincangan mengenai penggubalan akta tersebut hanya akan berakhir dengan janji manis dan tanpa sebarang pelaksanaan konkrit.

“Pemain politik hanya pandai bercakap tentang kajian Akta Pendanaan Politik untuk sedapkan hati rakyat tapi apa langkah pelaksanaannya?

“Tak perlu guna helah kajian tentang ‘modul’ apa yang nak digunakan untuk tak nak laksanakannya.

“Ia bukan rocket science kerana baseline jelas yang dituntut adalah ketelusan penerimaan dana politik dan perbelanjaan politik supaya tidak berlaku lagi amalan curang dan salah laku pemain politik melibatkan wang,” tegasnya.

Sehubungan itu, Muhammad Faisal berkata pihaknya turut menuntut agar sebarang perbincangan antara kerajaan dan parti-parti politik mengenai akta ini dibuat secara terbuka, agar rakyat dapat menilai sendiri siapa yang benar-benar komited, dan siapa yang cuba menghalang usaha reformasi ini.

“Kepada kerajaan Madani, kuasa di tangan anda. Akta ini hanya memerlulan majoriti mudah,” katanya.

Muhammad Faisal juga turut mengingatkan bahawa rakyat sedang menilai keseriusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menunaikan janji reformasi dan membanteras rasuah.

“Rakyat sedang lihat betulkah kerajaan pimpinan Anwar serius dengan politik keyakinan nak hapuskan rasuah.

“Kian hari rakyat kian bosan dengan slogan dan retorik politik kosong,” tambahnya.

Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dilaporkan berkata kerajaan mungkin tidak dapat meluluskan undang-undang untuk mengawal selia pembiayaan politik sebelum pilihan raya umum ke-16 yang dijangka menjelang Februari 2027.

Azalina, ketika berucap pada perbincangan dasar penggubalan Rang Undang-undang Pendanaan Politik, berkata ini berikutan keperluan kajian menyeluruh dan input daripada pelbagai pihak berkepentingan, khususnya orang ramai.

Gesaan Bersih itu juga susulan perhimpunan antirasuah pimpinan pelajar di Kota Kinabalu hujung minggu lalu, diikuti perhimpunan Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Kuala Lumpur semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS