Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Gesa lanjut khidmat ketua hakim politikkan badan kehakiman

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas dakwaan cubaan untuk melobi kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam ucapannya di Jabatan Perdana Menteri pagi ini, dia menggelar langkah itu sebagai percubaan untuk mempolitikkan badan kehakiman dan menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku dengan institusi bebas seperti itu.

"...tentang penjawat awam, atau hakim, mana-mana pegawai yang tiba tempoh persaraan dia, dia ada prosedur dia. Tempoh persaraan, tidak automatik bila bersara, tidak automatik sambung.

"Dalam keadaan ini, saya ditegur, makna ada satu kempen, mesti sambung orang ini, jangan sambung orang ini.

"Ini bermakna jadi institusi yang sepatutnya berintegriti dan bebas itu dipolitikkan. Bila jadi wacana umum politik, makna kalau tak sambung, kumpulan ini setuju, kalau sambung kumpulan ini setuju, jadi tak wajar lagi," kata Anwar semasa perhimpunan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini.

Anwar secara sinis berkata jika amalan sebegitu dibenarkan kerajaan, mereka akan melihat penjawat awam lain seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN) mula melobi untuk mengekalkan jawatan mereka.

"Jadi kalau saya esok, penjawat awam, KSN sebelum enam bulan habis, dia kempen habis-habisan, kalau tak sambung khianat.

"Kumpulan yang tak setuju dengan dia pula akan kata kalau sambung khianat. Tapi tak pernah berlaku begitu dan tak harus berlaku begitu," tegas Anwar.

Tengku Maimun akan mencapai umur persaraan wajib bagi hakim, 66, esok, 1 Julai.

Dua lagi hakim tertinggi, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, juga ditetapkan untuk bersara tidak lama lagi, masing-masing pada 2 Julai dan 22 Ogos.

Menjelang persaraan Tengku Maimun, pihak tertentu membidas Anwar kerana enggan melanjutkan tempoh perkhidmatannya, dengan seorang pemimpin PAS membandingkan kes Tengku Maimun dengan pembaharuan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki buat kali ketiga walaupun mendapat kritikan hebat.

Anwar semasa Kongres PKR pada 23 Mei mempertahankan keputusan untuk melanjutkan kontrak perkhidmatan Azam, dengan mendakwa ketua pesuruhjaya SPRM itu telah menunjukkan "keberanian luar biasa" dalam menangani rasuah peringkat tinggi.

Tambahnya lagi, Anwar dalam ucapannya berkata perdana menteri tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan pelantikan hakim.

Sebaliknya, tambah Anwar, keputusan sedemikian perlu melalui proses yang melibatkan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC), mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, dan perbincangan oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Anwar berkata tiada keputusan yang diambilnya boleh memuaskan hati semua orang.

Sambil menegaskan bahawa dia tidak mempunyai pengaruh dalam keputusan yang dibuat oleh badan kehakiman, Anwar membuat perbandingan antara peristiwa baru-baru ini melibatkan kes mahkamah bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan pembebasan tanpa pelepasan (DNAA) kepada Najib atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Rayuan pula telah membebaskan Syed Saddiq, yang merupakan ahli parlimen Muar, daripada empat pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan dan penggubahan wang RM1.12 juta dana Pemuda Bersatu,

"Macam kes Najib, maaf saya sebut, dapat DNAA itu (ada yang tuduh) PM campur tangan dan khianat.

"Kemudian Syed Saddiq baru-baru ini dapat DNAA, bagi satu pihak salah juga, tak dapat DNAA pun salah juga. Saya kata itu bukan urusan saya.

"Saya setuju atau tidak, pendapat peribadi saya bukan isunya. Kita kena hormat hakim, keputusan yang dibuat," kata Anwar.

Antara yang mengkritik Anwar sebelum ini adalah Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan yang menyifatkan keengganan perdana menteri melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun satu pengkhianatan.

Arutchelvan menegaskan bahawa Tengku Maimun tidak pernah tunduk kepada tekanan eksekutif dan sentiasa berkongsi pandangannya tanpa rasa takut atau pilih kasih.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS