Saya terpanggil untuk memberi respons saranan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar agar kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan penglibatan murid seawal darjah satu dalam gerakan Pengakap.
Semasa berucap sebagai panelis di Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 di Kuala Lumpur beberapa hari lepas, Nurul Izzah–yang dijemput atas kapasiti Pengerusi Eksekutif Polity–memberi contoh positif yang dapat dilihat di Maldives dan Hong Kong hasil kegiatan pengakap yang diperkenalkan pada usia seawal empat tahun.
Melalui sistem pembelajaran sekarang, aktiviti Pengakap hanya ditawarkan kepada murid darjah empat yang berusia 10 tahun. Dari pengenalan semasa Pengakap kanak-kanak, mereka seterusnya diserapkan ke Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana bila menginjak usia.
Di negara yang melihat kualiti yang dapat dibina hasil dari pernyataan ini, ia bermula dari prasekolah sebagaimana Scouting America (dulunya dikenali Boy Scouts of America/ BSA) yang penyertaan prasekolah melalui Lion Cubs bermula seawal lima ke enam tahun.

Di United Kingdom pula, The Scout Association Squirrels yang diperkenalkan pada 2021 menerima keahlian dari kalangan empat ke enam tahun serta Beavers pula untuk enam ke lapan tahun.
Sementara yang lebih dekat dengan kita, Australia melalui Scouts Australia mempunyai Joey Scouts dengan keahlian kanak-kanak lima ke tujuh tahun manakala Cub Scouts pula lapan ke sepuluh tahun.
Antara yang dipelajari untuk anak-anak prasekolah adalah pembinaan karakter, pengenalan kepada semangat kenegaraan dan membina ketahanan fizikal melalui aktiviti luar yang menyeronokkan sesuai dengan usia mereka, sama ada melalui permainan mahupun lain lain aktiviti pembelajaran tidak formal.
Kajian prososial menerusi data Gallup (2010) Universiti Baylor, Texas melalui Baylor Institute for Studies of Religion menunjukkan bekas pengakap terutama Eagle Scouts cenderung:
1. Lebih fokus dalam pendidikan dan mempunyai prestasi akademik yang lebih baik,
2. Memupuk kesedaran tanggungjawab, perancangan, dan disiplin diri,
3. Mempunyai matlamat hidup yang lebih jelas dan kemahuan berorientasikan pencapaian
Simbol dedikasi
Eagle Scout adalah ranking tertinggi yang boleh dicapai oleh mereka yang mengikut program Scouting America. Ia simbol dedikasi, kemahiran kepimpinan dan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Dengan penekanan kepada pendedahan awal ini, aktiviti berstruktur seperti pengakap mampu melahirkan pelajar dengan keputusan akademik yang lebih baik, menanam disiplin diri dan penyesuaian emosi positif.
Dalam melahirkan masyarakat Madani, pastinya sumbangan dari penglibatan dalam kegiatan pengakap juga boleh diolah mengikut acuan yang ingin kita tanamkan dalam dada generasi pewaris.
Kita sentiasa dituntut untuk mempersiapkan anak-anak kecil dengan pembelajaran dan keilmuan. Pelajaran sama ada secara formal mahupun tidak menyajikan anak-anak dengan ilmu.

Sedangkan pendidikan adalah mengajar adab, berdisiplin, saling menghormati. Kalau lihat dalam dua kerangka ini, Pengakap jatuh bawah kategori pendidikan.
Dalam hadis, belajar adab dimulakan dengan solat.
Nabi SAW bersabda:
"Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berumur tujuh tahun." (Abu Daud, hadis no: 495)
Maka kita boleh memahami, umur tujuh tahun sudah dianggap masa yang sesuai untuk menerima perintah, yang dalam hadis ini adalah suruhan untuk bersolat.
Solat adalah satu sistem tersendiri yang antaranya melatih untuk perihatin dengan ketepatan waktu dan teliti akan persediaan yang perlu dalam melaksanakannya.
Ingatlah dalam perkara adab ini, Kita adalah cermin sisi buat panduan anak-anak kita
Aktiviti pengakap yang berstruktur dikaitkan dengan pembawaan diri yang fokus terhadap matlamat, berwawasan dan berperancangan serta mempunyai kualiti kesediaan awal (preparedness) yang semuanya bakal melahirkan generasi yang berwibawa.
Kajian kajian lain di barat termasuk di Sepanyol mendapati bahawa penglibatan dalam pergerakan pengakap memberi kesan signifikan kepada peningkatan kemahiran sosial:
Ia menyediakan asas kepada penyelesaian konflik, kebolehan berkomunikasi, lebih rasa bertanggungjawab, lebih mudah untuk kerjasama dalam interaksi antara rakan sebaya, pergiliran serta cara menghargai kerja dan sumbangan rakan sepasukan.
Tidak syak lagi, sekiranya pandangan ini bersambut, kesannya sedikit demi sedikit akan dapat dilihat dan pastinya ia bakal memacu negara untuk setanding dengan negara negara membangun dalam menyediakan bahan mentah paling penting berupa tenaga kerja dan pelaksana yang hebat dan berwawasan untuk masa akan datang.
ROSLI ALLANI ABDUL KADIR adalah bendahari Pertubuhan Alumni Madrasah Yahya Othman (Pamayo).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
