Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindakan SPRM pada Daim semacam penderaan, kata Mahathir

Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan aset milik bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Daim Zainuddin, yang dilaporkan bernilai sekitar RM4 bilion di luar negara.

Bekas perdana menteri itu turut menyifatkan langkah drastik pihak berkuasa sebagai suatu "penderaan" ke atas Daim dan keluarganya, terutama apabila tiada sebarang pendakwaan rasmi dilakukan setakat ini.

“Apa kesalahan (Allahyarham) Tun Daim? Dia mencurikah? Ada buktikah duit itu dicuri?

"Kalau ada bukti, dakwa dia dalam mahkamah,” tegas Mahathir dalam sidang media selepas diminta mengulas tindakan SPRM yang akan membekukan aset Daim, keluarganya serta individu yang dipecayai menjadi proksi.

Difahamkan aset bernilai tinggi dan mempunyai kepentingan komersial itu berada di lima lagi negara selain United Kingdom (UK), dengan nilai dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.5 bilion.

Menurut laporan media, tindakan itu dijangka dilakukan berikutan SPRM mendapati ia gagal diisytiharkan dalam siasatan terhadap pemimpin politik berkenaan.

Lima negara menempatkan aset dan harta terbabit ialah AS, Singapura, Jepun, Itali, dan Jersey iaitu negara pulau yang terletak di Selat Inggeris dan di luar pantai Normandy, Perancis.

Mahathir berkata tindakan membekukan harta Daim "tanpa proses undang-undang yang jelas" hanya menimbulkan persoalan mengenai keadilan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Dakwanya, sebarang tindakan terhadap individu mestilah berasaskan kepada bukti kukuh dan proses undang-undang yang adil.

“Ini tak ada dakwaan, tiba-tiba tindakan drastik diambil dengan membekukan harta dia, rumah dia. Macam satu penderaan terhadap dia (sebelum ini), dan sekarang ini isteri dia.

"Kalau dia buat salah, tunjukkan kesalahan. Kalau dia tak buat salah, jangan ambil tindakan yang mendera dia,” katanya.

Baru-baru ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan pihak berkuasa UK bersetuju membantu SPRM mengenakan perintah larangan terhadap sejumlah aset dan harta bernilai lebih RM700 juta milik keluarga dan proksi yang dikaitkan dengan Daim.

Permohonan kepada pihak berkuasa UK itu dibuat selepas SPRM memohon meminda beberapa perkara berkaitan perintah larangan itu di mahkamah.

Pada 3 Jun lalu, tiga kediaman mewah di London adalah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank disita membabitkan nilai berjumlah £132 juta (RM758.2 juta) didakwa milik isteri Daim, Na'imah Abdul Khalid dan keluarga, dibekukan SPRM

Hasil siasatan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan berhubung dakwaan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bagaimanapun, pada 23 Jun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggantung sementara perintah itu selepas hakim, Azhar Abdul Hamid, membenarkan permohonan dibuat peguam Na'imah, Gurdial Singh Nijar, terhadap perintah pembekuan secara ex parte yang diperoleh SPRM.

Dua hari kemudian SPRM memfailkan pula permohonan di mahkamah tinggi bagi melucut hak Menara Ilham - yang setinggi 60 tingkat dan terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur - yang dikaitkan dengan Daim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS